Monday, April 14, 2008

3 kes kebakaran mengakibatkan satu kes korban

Oleh : Bibi Biddin

BELURAN : Dalam tempoh dua minggu sahaja, tiga kes kebakaran berlaku di daerah Beluran yang membabitkan satu kes korban dan terbaru pada malam Sabtu yang melibatkan rumah seorang ibu tunggal di kampung Sungai-Sungai, Jalan Kolapis di sini baru-baru ini.

Kejadian pada jam 10 malam Sabtu telah menyebabkan kediaman seorang ibu tunggal Sarimah Haji Eting musnah.

Pada kejadian itu, ketiga-tiga anak Sarimah yang berusia 10 tahun, 12 tahun dan 14 tahun berada di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana mangsa berjaya keluar dari rumah sebaik menyedari api menyala dari bahagian sudut rumah mereka pada kejadian tersebut.

Kejadian kebakaran itu adalah yang ketiga dalam dua minggu ini, selain rumah ibu tunggal itu, dua kejadian lagi berlaku pada 7 April lepas yang mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan satu lagi kes kebakaran berlaku selang beberapa jam dari kejadian ini yang menyebabkan 10 buah gerai di pekan Beluran musnah.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang melawat mangsa di tapak kejadian memberi sokongan moral kepada mangsa kebakaran yang berlaku pada jam 10 malam Sabtu.

Ronald turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa, Sarimah Haji Eting yang mana kediamannya musnah terbakar dalam kejadian yang menyebabkan keluarga itu tinggal sehelai sepingang.

Ronald yang sebelum ini menyuarakan masalah ketiadaan Bomba dan Penyelamat Daerah Beluran telah memberi satu kesan yang besar kepada rakyat kerana masyarakat Beluran terutama kehilangan harta awam kerana terpaksa bergantung kepada Bomba dari Sandakan yang terletak sejauh 80 kilometer dari pekan ini.

Hampir Setengah Juta Ringgit Berjaya dirampas oleh Polis Marin

Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU: Hampir setengah juta ringgit barang rampasan telah berjaya dibuat oleh pihak Polis Marin di Batu 3 ½ Jalan Utara disini, Ahad lepas.

Dipercayai satu sindiket menyalahgunakan diesel subsidi bertempat di sebuah kawasan gudang yang menjalankan kegiatan haram itu dengan tertangkapnya lima orang lelaki warga tempatan berusia di antara 20-an hingga 30-an.

Dalam pada itu, pihak polis juga merampas tiga kenderaan, masing-masing sebuah Nissan Frontier, Toyota SR dan lori Daihatsu Delta kerana mempunyai tangki ubah-suai yang berisi minyak diesel.

Tapak dan gudang yang menjadi lokasi kegiatan terbabit juga turut disita menjadikan jumlah nilai keseluruhan barang rampasan mencecah jumlah hampir setengah juta ringgit iaitu RM 485,600.

Pegawai Pemerintah Marin Tawau, DSP Husaini Zainal Abidin dalam kenyatannya berkata, sindiket itu dipercayai telah menjalankan kegiatan terbabit sejak awal tahun ini dan gudang berkenaan merupakan lokasi penyimpanan minyak-minyak tersebut.

“Kita percaya sindiket ini menjalankan kegiatan membeli diesel subsidi untuk dijual semula ke ladang atau kilang di daerah ini. Gudang dan tanah yang dianggarkan bernilai RM 250,000 ini pula dijadikan mereka sebagai tempat simpanan minyak,” ujarnya.

Menurut Husini, serbuan itu telah dibuat oleh sepasukan enam anggota Polis Marin yang diketuai ASP Mohamad Ismail pada kira-kira jam 7.18 malam hari yang sama, hasil dari maklumat yang diterima oleh orang awam.

Setiba di gudang itu katanya, pemeriksaan polis menemui 46 tong drum berisi 200 liter minyak diesel setiap satu dan 47 tong drum kosong, selain sebuah pam elektrik, hos, dua unit tangki minyak fibre glass yang telah diubaisuai dan 1 unit tangki minyak besi.

Minyak diesel di dalam 47 tong drum terbabit dianggarkan bernilai RM 14,352.

Pada pemeriksaan lanjut katanya, pihaknya juga turut menjumpai dua kenderaan iaitu sebuah Nissan Frontier dan Toyota SR, yang setiap sebuah daripadanya mempunyai tangki ubah suai berisi lebih kurang 400 liter minyak diesel.

Bagaimanapun, tangki ubah suai pada lori Daihatsu yang ditemui didapati kosong, tetapi di dalam kenderaan itu terdapat sebuah pam minyak dan hos.

Kes itu dan kesemua barang rampasan katanya akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Husaini menasihatkan pengusaha-pengusaha stesen minyak di daerah ini agar tidak sesekali bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membeli minyak subsidi dengan jumlah yang banyak dan mencurigakan dari stesen minyak mereka.

Perbuatan sedemikian ujarnya boleh menyebabkan pengusaha yang terlibat turut dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam hal yang sama, Husaini melahirkan penghargaannya di atas maklumat yang disalurkan oleh orang awam dan beliau berharap, kerjasama seumpama itu akan terus dapat dipertingkatkan.

Penghormatan terakhir buat mendiang Lau Gek Poh


Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Penghormatan terakhir buat mendiang Tan Sri Panglima Datuk Lau Gek Poh di Yayasan Lau Gek Poh baru-baru ini telah dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ahli-ahli perniagaan.

Antara yang hadir memberi penghormatan, Ketua Menteri Sabah Datuk Sri Musa Haji Aman, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail serta beberapa anggota ahli dewan undangan negeri.

Mendiang meninggal pada 4 April lalu di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Tawau pada 13 April dan disemadikan di tanah perkuburan Teo Chew Batu 5 Jalan Apas jam 3 petang kelmarin.

Mendiang yang digelar dermawan dan raja balak Sabah meninggalkan seorang balu, 3 orang anak, 9 cucu dan 2 cicit.

Saya akan pantau - Presiden MPT


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU: Berikutan laporan MESTI edisi ke-29 baru-baru ini, Tn. Haji Salsidu Haji Ibrahim, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bersama dengan beberapa pegawainya turun padang untuk meninjau isu longgokan sampah sarap di sekitar bandar ini Sabtu lepas.

Sehubungan itu, beliau ‘terkejut melihat situasi yang berlaku’ sekaligus melahirkan rasa kecewa kerana syarikat yang dilantik dan diberi kontrak tidak melakukan kerja memungut sampah.

Dalam kenyataannya kepada media, beliau berjanji akan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat kontraktor pemungut sampah berkenaan yang menurutnya terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan berkesan.

“Kita tidak akan biar perkara ini berterusan. Oleh itu bermula Ahad ini, kita akan beri syarikat terbabit tempoh satu minggu untuk membersihkan kesemua pusat-pusat pungutan sampah berkenaan dan kerja-kerja mereka akan kita pantau,” katanya dengan tegas.

“Jika mereka masih gagal, pihak majlis akan mengambil pendekatan lain untuk membersihkannya dan kos tersebut akan kita tolak dari wang bayaran untuk syarikat kontraktor berkenaan,” katanya lagi.

Menurutnya, mereka melaksanakan tanggungjawab sambil lewa walaupun tempoh kontrak syarikat tersebut akan berakhir 31 Ogos depan, merupakan satu tindakan tidak wajar dan boleh mencemarkan imej pihak berkuasa tempatan dan juga imej Perbandaran Tawau khasnya.

Beliau juga memberi amaran kepada syarikat-syarikat kontraktor lain yang telah dilantik oleh MPT agar sentiasa mematuhi perjanjian kontrak yang telah ditandatangani, jika tidak ingin tindakan diambil ke atas mereka.

Tinjaun mengejut itu dilakukan selama tiga jam bermula jam 4.00 petang bersama wartawan, difahamkan hasil dari rungutan orang ramai dan juga pelbagai pihak yang disuarakan melalui media massa baru-baru ini.

“Kita berterima kasih kepada pihak media kerana memainkan peranan menyuarakan kehendak masyarakat. Bagaimanapun, kita harap pihak media tidak pula membuat laporan yang boleh menimbulkan kebimbangan atau salah faham masyarakat,” katanya.

Salsidu juga menegaskan, pihaknya akan menguatkuaskan undang-undang dengan lebih tegas bagi memastikan bandar Tawau sentiasa bersih dan indah.

Sementara itu, kompoun atau denda di mahkamah akan dikenakan kepada mereka yang didapati membuang sampah merata-rata, tambahnya.

Selain itu, menyentuh mengenai pusat perjudian haram pula, beliau berkesempatan melawat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan melahirkan rasa puas hati melihat usaha yang dilakukan pihak polis untuk mencegah jenayah.

Ini kerana begitu banyak rampasan telah dibuat pihak berkuasa terbabit, sebagai usaha mencegah aktiviti itu dari terus berleluasa.

“Kita minta jika masyarakat awam tahu di mana lagi ada lokasi perjudian haram, laporkan kepada pihak polis atau pihak kita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebarang aduan yang ingin dibuat kepada pihaknya katanya, boleh disalurkan dengan cara datang sendiri ke pejabat MPT atau dengan menghubungi talian 089-701666.

Selain sampah sarap dan mesin slot, Salsidu dan rombongannya turut berkesempatan meninjau tandas awam, gerai-gerai makanan serta keadaan longkang dan parit di sekitar Sabindo.

Antara yang turut serta di dalam tinjauan kerja itu ialah Timbalan Presiden MPT Ismail Mayakob dan Timbalan Setiusaha (Operasi) MPT Khanizman Pakir dan beberapa Ahli Majlis MPT.

Friday, April 11, 2008

Agenda pembangunan belia, keutamaan Pang



Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Agenda pembangunan belia merupakan satu perancangan utama yang akan dibangunkan di kawasan Dun Merotai dalam masa terdekat ini

Wakil Rakyat Merotai, Pang Yuk Ming berkata, agenda itu akan dilaksanakan berikutan ada dikalangan para belia yang masih belum maju dan masih menganggur.

Taman Cabaran, merupakan satu perancangan yang akan dibina di kawasan Taman Semarak untuk belia dan masyarakat setempat agar mereka dapat melakukan aktiviti yang berfaedah disamping membuat aktiviti yang mencabar.

Antara aktiviti di Taman Cabaran kelak ialah climbing (panjat gunung), berbasikal, paintball dan bermacam lagi.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan mengenai perancangan ini serta tempat bagi Taman Cabaran ini”, katanya.

Dalam pada itu, beliau akan membina sebuah pondok keselamatan yang mana akan menempatkan pasukan keselamatan dan pihak polis bagi mengawal di kawasan itu dan sekaligus mencegah aktiviti tidak bermoral oleh golongan belia.

“Saya sudah berbincang dengan OCPD Tawau mengenai tempat dan operasi keselamatan dan mereka bersetuju. Dengan itu, saya bercadang untuk melaksanakannya secepat mungkin”, katanya lagi.

Beliau menegaskan, anak-anak perlu diawasi ketika berada di luar rumah dengan mengambil tahu segala aktiviti agar tidak terjerumus ke dalam kanca sosial dan tindakan akan diambil jika mereka didapati bersalah oleh pihak berkuasa.

Menyentuh mengenai permasalahan air, beliau akan mengajukan masalah ini kepada Jabatan Air bagi menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk.

Dalam ucapan itu, penduduk juga diberi peluang untuk mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada Wakil Rakyat dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).

Beliau berucap ketika menghadiri Majlis Gotong Royong dan Dialog Bersama Penghuni Flat Kondominium Taman Semarak Tawau kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar dan Pengurusan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), En. Jenar Lamdah, Jabatan Bomba, Majlis Perbandaran Tawau (M.P.T) dan kira-kira 300 penduduk.

Sindiket Rokok Terbesar Tumpas!



Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU: Rampasan rokok seludup yang merupakan rampasan dengan nilai terbesar di Sabah telah berjaya dilakukan oleh Polis Marin.
Bertindak hasil dari maklumat orang awam, Polis Marin telah melakukan dua serbuan ke atas sebuah kereta dan sebuah rumah di Taman Da Hua 3 dan berjaya merampas 61,800 bungkus rokok yang bernilai RM162,000 dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar negeri ini.
Turut dirampas di dalam serbuan berkenaan ialah 20 batang besi pengikat bungkusan dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok seludup.
Rokok-rokok berkenaan dipercayai akan dibungkus semula untuk menggantikan setem yang terdapat pada kotak rokok berkenaan kepada setem yang lain, sebelum dipasarkan.
Menurut Pegawai Pemerintah Marin Tawau, DSP Husaini Zainal Abidin, pada hari tersebut kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan empat anggota Marin yang diketuai oleh Cif Inspektor Safri Anuar Jamin telah pergi ke Taman Da Hua 3, Jalan Bunga Raya di sini.
Sebaik tiba di taman tersebut katanya, kelihatan sebuah kereta Proton Iswara memasuki perkarangan sebuah rumah di taman itu dan apabila dihampiri, pemandu kereta tersebut telah bertindak melarikan diri dan tidak dapat dikesan.
Katanya lagi, Pihak Marin telah memeriksa kereta terbabit dan menemui 12,000 bungkus rokok Surya Gudang Garam bernilai RM 30,000, yang dibungkus dengan plastik hitam dari bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.
Sehubungan dengan itu kata Husaini, pasukannya telah melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan yang tidak berpenghuni dan menemui 44,800 bungkus rokok Surya Gudang Garam, 4,500 bungkus rokok Tex Light dan 500 bungkus rokok Tex Flavour yang kesemuanya bernilai RM 122,000.
Penghuni rumah tersebut dipercayai telah melarikan diri kerana pintu dapur rumah didapati terbuka.
“Kita percaya ini adalah rampasan rokok seludup terbesar yang dilakukan Polis Marin dalam tempoh tiga tahun ini. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Polis dan kesemua barang rampasan akan diserahkan pada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau,” katanya.
Dalam hal yang berkaitan, pihaknya kini sedang mengenalpasti pemilik rumah terbabit dan berharap agar orang ramai yang tinggal di kawasan tersebut dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memudahkan membanteras penyeludupan yang masih berleluasa di daerah ini.

Saturday, April 5, 2008

Ibu bapa perlu peka soal pendidikan anak-anak


Oleh: Muahlim Lise
TAWAU : Ibu-bapa harus memainkan peranan dan peka terhadap anak-anak baik dari soal pendidikan, disiplin mahupun soal perilaku mereka samada dalam atau luar sekolah.
Wakil Rakyat Sebatik, Abdul Muis Picho berkata dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman pada Majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang di S.K. Bandar kelmarin.
Tambahnya lagi, guru-guru tidak harus dipersalahkan jika anak-anak mereka dikenakan tindakan atas dasar satu kesalahan, sebaliknya pendekatan dengan cara berbincang harus digunakan bagi menyelesaikan masalah.
Dalam hal berkaitan, acara penganugerahan pelajar cemerlang sememangnya menjadi acara tahunan dan dengan majlis sedemikian anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dapat diberikan penghargaan dari sekolah.
Pengiktirafan sebegini membuatkan para pelajar akan bersemangat untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang dan dalam pada itu juga, pelajar yang tidak menerima anugerah akan terpanggil untuk berusaha dalam mencapai kejayaan.
Sehubungan itu, kejayaan penganjuran majlis ini pastinya menjadi titik tolak kepada pembentukan modal insan untuk masa depan negara dan ibubapa hendaklah sentiasa menyokong dalam penganjuran majlis sebegini.
Beliau juga berpesan, guru-guru hendaklah memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik terhadap murid dengan penuh rasa keyakinan dan keikhlasan.
Ini kerana kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit setiap tahun bagi membentuk anak-anak agar menjadi sumber manusia yang berkualiti untuk negara.
Disamping itu juga, harapan ibubapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah turut disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Muis berpesan agar ibubapa memainkan peranan yang berkesan serta mengambil tahu perkembangan khasnya di bangku sekolah lagi bagi memastikan sumber pelajaran anak-anak sentiasa dipantau perjalanannya.