Sunday, April 20, 2008

PHD tidak perlu ada dalam jiwa usahawan bumiputer



Oleh ; Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Masyarakat bumiputera disarankan agar melibatkan diri dalam perniagaan bagi meningkatkan bilangan usahawan bumiputera di negara ini khasnya di daerah Tawau.

Pelbagai peluang yang telah diberikan oleh kerajaan termasuklah menyediakan kursus kontraktor, bantuan pinjaman perniagaan serta galakan bumiputera dalam perniagaan, supaya usahawan bumiputera lebih cekap dan lebih berjaya serta dapat bersaing dengan usahawan bukan bumiputera yang lain.

Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Hj. Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata demikian, ketika menghadiri untuk merasmikan Syarikat Shanti Butik dan Tailor sebuah syarikat Bumiputera baru-baru ini di sini.

Beliau juga menasihatkan agar usahawan bumiputera sentiasa peka dengan kemajuan dan mengutamakan kepentingan negara dalam pembangunan ekonomi supaya matlamat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 akan terlaksana.

Katanya lagi, sikap perasaan hasad dengki (PHD) dan iri hati tidak perlu ada di dalam jiwa seseorang usahawan, ini kerana ia merupakan faktor utama dalam meruntuhkan maruah dan penyebab usahawan bumiputera tidak setanding dan gagal dalam perniagaan.

Maka dengan itu katanya, sikap “orang lain boleh buat, kita orang melayu pun boleh” perlu ditanamkan dalam jiwa setiap usahawan bumiputera bagi pemberi semangat dalam merealisasikan impian dan kejayaan sesebuah perniagaan.

Tambahnya, dengan menghasilkan produk pengeluaran yang bermutu, perkhidmatan pelanggan yang baik dan semangat berdaya saing, juga dapat menjamin supaya perniagaan atau syarikat akan sentiasa kukuh.

Tawfiq juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Hassan Sakti selaku pemilik Syarikat Shanti Butik dan Tailor kerana menyahut seruan kerajaan dalam memperbanyakkan penglibatan usahawan bumiputera khasnya di daerah ini.

Kaum wanita perlu lebih bijak manfaatkan kemahiran


Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU: Pelbagai peluang dan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan untuk kaum wanita pada hari ini, untuk dimanfaatkan bagi memajukan diri serta menjadi sumber mempertingkatkan ekonomi keluarga perlu direbut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik, Hji Abd. Muis Haji Picho, kaum wanita harus lebih bijak kerana ketika ini, terdapat pelbagai bentuk kursus jangka panjang atau jangka pendek disediakan kerajaan, termasuklah untuk mereka yang kurang berkemampuan.
“Kemahuan harus ada pada diri setiap individu. Jika kita ada kemahiran, kita boleh menambah pendapatan keluarga sekaligus membebaskan diri kita dari belenggu kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kraf Tekstil dan Ketrampilan Imej, anjuran bersama Pusat Giat Mara dan Astral Training and Development Sdn. Bhd.
Kursus yang disertai 30 peserta itu telah berlangsung selama lima hari, di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini.
Dalam pada itu, Muis menasihatkan semua peserta kursus yang terdiri dari Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) supaya tidak mensia-siakan pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi mereka.
Jika tidak katanya, kemahiran yang telah dipelajari tentunya tidak akan bermakna dan tidak akan dapat mencapai sasaran dan objektifnya.
Dalam hal berkaitan, beliau turut memuji hasil kerja tangan para peserta kursus, sambil melahirkan keyakinannya bahawa kraf-kraf tekstil tersebut boleh memenuhi kehendak pasaran.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pusat Giat Mara Tawau, Asmuran Asnawi ketika ditemui berkata, kursus berkenaan adalah untuk golongan KIRT yang telah dikenalpasti di setiap kawasan Dun, bertujuan memberi mereka kemahiran diri bagi meningkatkan ekonomi keluarga.
Setelah diberikan kursus jelasnya, para peserta akan diberikan pula instrumen untuk memulakan perniagaan dan perkembangan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa.
“Kita harap lebih ramai KIRT dapat dikeluarkan dari senarai kemiskinan dengan adanya usaha kerajaan seumpama ini,” katanya sambil memberitahu bahawa setiap peserta kursus terbabit diberikan sebuah mesin jahit elektronik dan peralatan menjahit.
Terdapat juga pelbagai jenis kraf tekstil yang dihasilkan para peserta dan dipamerkan di ruang tersebut.
Pada majlis penutupan itu, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan ratu fesyen dari para peserta.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Astral Training and Development Sdn. Bhd, Sharifah Mariam Mustamin.

CASH lantik ejen pengeksport tunggal besi buruk

Oleh : Muahlim Lise

TAWAU : Melantik ejen pengeksport tunggal besi buruk di negeri ini yang disokong penuh oleh Persatuan Pengguna Sabah (CASH), merupakan satu tindakan yang baik oleh kerajaan negeri dalam menangani kes curi besi.

Timbalan Presiden CASH, Sylvester Sakin Taing berkata, kecurian yang membabitkan harta kerajaan dan industri perkilangan boleh menyebabkan pihak yang terlibat mengalami kerugian.

Mengikut jumlah statistik, dianggarkan 119 kes curi besi yang melibatkan kerugian RM750 ribu pada tahun 2004, 237 kes curi melibatkan kerugian RM1.9 juta tahun 2005 dan 519 kes curi meningkat kepada kerugian RM2.4 juta bagi tahun 2006.

Dalam pada itu, kemalangan juga sering berlaku akibat daripada mereka yang tidak bertanggungjawab dengan mencuri besi yang boleh menimbulkan suasana kurang selesa kepada masyarakat.

Sylvister menyatakan, kerajaan akan melantik ejen bagi pengeksportan tunggal besi buruk dan ejen itu hendaklah memantau secara teliti bagi membantu dalam mencegah kes-kes curi besi buruk.

Jelasnya, ejen yang dilantik itu bukan bertujuan mengganggu perniagaan pengusaha besi buruk, tapi ianya bagi memastikan sistem pengurusannya berjalan dengan lancar dan sistematik.

Sylvester yang juga Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan harus memastikan pengusaha besi buruk yang ada dapat beroperasi serta dibenarkan dengan lesen sekaligus memperolehi keuntungan dalam perniagaan itu.

Ujarnya lagi, satu cadangan agar pengusaha dikenakan deposit dan jika didapati mereka membeli besi yang dicuri, maka wang deposit akan dikurangkan bagi menggantikan harga besi tersebut serta lesen akan disenarai hitamkan.

Perkara demikian akan mewujudkan harga pasaran yang stabil dan isu perniagaan tidak timbul kerana pengusaha yang sedia ada boleh terus berniaga.

Jimmy Wong ditumbuk!


Oleh : Noorulzaman Sodiq / A M Fadzlee Sjamsulbari

TAWAU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung yang merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang (DAP), Jimmy Wong, dilaporkan telah ditumbuk di bahagian dada sebelah kiri bertempat di persekitaran bangunan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) baru-baru ini.

Menurut akhbar tempatan, perkara itu terjadi pada khamis lepas, ketika beliau datang membuat aduan berhubung masalah tempat letak kereta di hadapan bangunan MPT kerana berlangsungnya penyerahan poster oleh konvoi bermotorsikal sempena sambutan Regatta Lepa di Semporna.

Difahamkan lelaki tersebut bukan kakitangan MPT dan dalam kejadian itu juga seorang wartawan akhbar Cina dilaporkan turut dikejar ketika cuba merakamkan insiden itu berlaku..

Jimmy dan wartawan terbabit bagaimana pun tidak ingin memperbesarkan isu tersebut, termasuklah membuat laporan polis dan telah pun memaafkan lelaki terbabit.

Bagaimanapun, Jimmy menyatakan beliau melihat insiden itu sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi oleh beliau apabila ingin menegakkan hak rakyat.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Haji Salsidu Haji Ibrahim ketika dihubungi dan diminta mengulas perkara yang berlaku, enggan memberi sebarang komen kepada pihak media.

LIEW KELUAR PARTI


Oleh : A M Fadzlee Sjamsulbari

Tawau : Mantan menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap naib Presiden Parti LDP, Datuk Liew Yun Fah bersama kira-kira 1,000 ahli LDP dari Merotai dan Balung mengambil tindakan untuk keluar dari parti komponen Barisan Nasional (BN).

Turut membuat keputusan yang sama ialah tiga pemimpin parti LDP yang digantung bersama-sama beliau iaitu Ahli Majlis Tertinggi, Francis Chang, Ketua Pemuda Merotai, Vun Nyuk Onn dan Ketua Bahagian Balung, Raymond Sia Vun.

Menurut Liew, keputusan keluar dari parti itu dibuat atas kesepakatan bersama penyokong-penyokong beliau kerana Liew percaya yang pemimpin-pemimpin LDP sememangnya ingin menyingkirkan mereka dari menjadi ahli parti berkenaan.

Namun apa yang mereka kesalkan, keputusan penggantungan mereka sebelum ini tidak dimaklumkan secara rasmi dan mereka hanya mengetahuinya melalui siaran media massa.

Surat rasmi penggantungan hanya mereka terima pada rabu lepas.

“Mereka tuduh kami sabotaj parti masa pilihanraya dulu, tapi saya rasa semua orang boleh fikir kalau kami sabotaj parti, sudah tentu sekarang ini Dun Merotai tidak diwakili oleh pemimpin dari LDP,” katanya.

Beliau juga menyatakan sebelum ini, mereka tidak pernah dipanggil untuk memberi penjelasan mahupun membela diri tetapi terus digantung keahlian oleh pemimpin parti itu.

Menjawab mengenai halatuju kumpulan mereka, Liew menyatakan yang mereka masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti lain meskipun sebelum ini banyak menerima tawaran termasuk dari parti pembangkang.

“Kami masih setia dengan BN. Kami tidak akan khianati Pak Lah, Datuk Seri Najib, Datuk Musa Aman serta ahli-ahli kabinet lain. Kami tidak akan menyertai pembangkang,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura beliau menerima tawaran dari sebuah parti kompenan BN iaitu Parti Progresif Rakyat (PPP), beliau mengesahkan perkara itu tetapi menyatakan yang tawaran itu masih perlu difikirkan dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya kepada media di kediaman beliau pada khamis lepas.

Dikesempatan itu juga, beliau melahirkan harapannya agar pengganti beliau iaitu Pang Yuk Ming yang kini menyandang jawatan Adun Merotai agar memegang mandat yang diberi rakyat dengan sebaik-baiknya.

Beliau juga menyatakan akan sentiasa bersikap terbuka dalam menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada rakyat Merotai sekiranya beliau masih diperlukan.

Friday, April 18, 2008

Kegiatan Penipuan Di Pasar Ikan

Oleh : Sazlansyam

Tawau : Kegiatan ‘menipu’ pelanggan yang dilakukan oleh peniaga di pasar ikan Tawau semakin berleluasa dan menjadi-jadi.

Berdasarkan laporan yang kami terima, kami telah membuat satu tinjauan dan temubual secara rambang dengan para pembeli yang ditemui di pasar tersebut.

Lebih memeranjatkan kami, kebanyakan ulasan yang diterima turut mendedahkan kegiatan Pendatang Tanpa Izin yang berniaga atau bekerja di situ secara haram.

Tinjauan MESTI kali ini cuba untuk membongkar perkara tersebut.

“Ada peniaga ikan menipu pelanggan dari segi timbangan dan kualiti ikan. Ada sesetengahnya, mencampurkan ikan segar dengan ikan yang buruk. Saya kurang puas hati dengan cara penipuan ini.” Ujar Ahmad Fauzan, 25 tahun Peniaga.

“Biasanya saya akan memilih ikan yang saya mahu beli. Ada juga saya dengar tentang perkara ini tetapi saya tidak pernah kena kerana saya akan menegur mereka. Saya harap pihak berkuasa akan segera memantau perkara ini, Selain itu pembeli juga harus bijak agar tidak tertipu.” kata Abdul Latif Oppes, 37 tahun, Guru.

“Saya pernah tertipu semasa membeli ikan di pasar ikan Tawau. Peniaga menyusun ikan segar di atas dan ikan yang kurang segar di bawah. Sudahlah saya memandu pulang kerumah satu jam, apabila sampai di rumah ikan sudah berbau. Bila saya jumpa mereka semula dan menegur perkara ini, mereka tidak mengaku.” Badariah Bago, 31 tahun, Kerani.

“Memang biasa berlaku. Mereka meletak ikan segar di atas dan buruk di bawah. Bila mereka timbang mereka akan menyodok ikan yang buruk bukan yang segar. Selalunya saya hanya menyedari telah ditipu bila pulang ke rumah.” Rohani Abdul Majid, 36 tahun, Guru.

“Saya paling tak puas hati sebab bila kita pilih yang segar tapi bila mereka menimbang ikan tersebut mereka telah menyodok ikan yang buruk. Ada juga peniaga yang menjual udang dan sotong yang dicampur air supaya menjadi lebih berat bila ditimbang.” Rokiah Ismail, 32 Tahun, Guru.

“Harap pihak berkuasa memantau pendatang tanpa izin yang bekerja atau berniaga. Sudahlah masuk secara haram kemudian menipu rakyat tempatan pula. Penipuan ini memang wujud sampaikan ada antara rakan-rakan saya yang lebih senang membeli dengan peniaga Cina yang ternyata lebih jujur.” Martini Binti Maming; 27 Tahun, Kerani.

“Saya cuma nak tegur berkenaan peniaga yang menipu timbangan seperti udang dan sotong yang direndam dalam air supaya berat bila ditimbang. Ikan memang saya pilih sendiri dan kalau mereka cuba menipu saya akan tegur. Lagi satu macam banyak PATI lah yang berniaga.” Syukur, 36 Tahun, Tentera.

Tuesday, April 15, 2008

MPT laksana operasi pembersihan

Oleh : Syah82
TAWAU : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mula melaksanakan kerja-kerja pembersihan timbunan sampah di beberapa kawasan pembuangan sampah di Jalan Damai sini.

Operasi pembersihan itu diadakan berikutan aduan orang ramai berhubung masalah sampah yang tidak dikutip.

Masalah itu turut mendapat perhatian Presiden MPT Salsidu Ibrahim yang turun padang melihat keadaan timbunan sampah berkenaan.

Salsidu kemudian telah mengarahkan pihak kontraktor bertanggungjawab untuk membersihkan kotoran itu selama seminggu.

Timbalan Setiausaha Operasi MPT Khanizman Pakir Mohd mengetuai operasi pembersihan tersebut yang turut disertai oleh anggota MPT sendiri, kontraktor Sharijadi Sdn Bhd dan penduduk kampung.

Operasi pembersihan akan diteruskan di beberapa kawasan pembuangan termasuk di Tanjung Batu, Hill Top, Bandar Fajar dan berhampiran Pasaraya Suka Ramai di sini.

Khanizman turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuang sampah di kawasan yang telah disediakan.