Monday, March 31, 2008

Konvokesyen kali ke-8 SM Teknik


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Sokongan yang kuat dari ibubapa dan guru-guru bagi memastikan pelajaran anak-anak di sekolah berjaya dan cemerlang dalam peperiksaan adalah sesuatu yang amat dibanggakan dengan tercapainya kejayaan pada hari ini.

Sek. Men. Teknik merupakan sekolah yang mendidik graduan-graduan yang akan melahirkan jurutera-jurutera tempatan dan juga pakar-pakar perindustrian supaya matlamat Negara Maju pada 2020 akan tercapai.

“Sektor industri pada masa kini memerlukan jurutera-jurutera tempatan dalam membangunkan ekonomi perusahaan dan perindustrian bagi menjamin negara kita mempunyai tenaga mahir tempatan yang mencukupi,” kata Ahli Parlimen Tawau P.190, Datuk Chua Soon Bui semasa menghadiri Majlis Perasmian Konvokesyen Sek. Men. Teknik Tawau Sesi 2006/2007 kali ke-8 baru-baru ini.

Tambahnya, pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mencecah di bawah 90 peratus kelulusan, membuktikan bahawa graduan-graduan masa kini lebih mementingkan pendidikan dan telah mendorong mereka ke arah mencapai kemajuan diri dan juga masa depan.

Di majlis tersebut, Chua sempat menyampaikan Sijil dan Anugerah kepada graduan yang terbaik mengikut Kursus, Aliran, Anugerah Emas dan Anugerah Pelajar Terbaik bagi Sesi 2006/2007.

Turut hadir di majlis tersebut Pengetua Sek. Men. Teknik Tawau, Puan Fitriani Wahid, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sek. Men. Teknik, Mohd Rashid Saad, Pengetua-pengetua Sekolah Menengah di Tawau, Guru-guru dan ibubapa pelajar.

Sambutan yang mengalakan dengan kehadiran lebih kurang 500 ibubapa, pelajar dan guru-guru ini telah memenuhi Dewan Tun Ahmad Shah semasa majlis tersebut diadakan.

Mahasiswi UMS terkorban



Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU : Seorang mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) terbunuh setelah kenderaan Proton Iswara yang dipandunya bertembung dengan lori 10 tan di Kilometer 8, Jalan Kuhara di sini kelmarin.
Difahamkan, mangsa merupakan pelajar Semester 5, Tahun 3, Kursus Ijazah Sains Sukan di UMS dan sedang menjalankan praktikal di daerah ini.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11.00 pagi melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Syahriza Bte Senawing, 24 dan berasal dari Kg. Jambatan Putih Tawau.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, DSP Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pemandu lori tersebut yang berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.
Sementara itu, mantan Wakil Rakyat Merotai, Brig. Jen Datuk Liew Yun Fah yang berada di lokasi kemalangan, meminta para pemandu kenderaan berat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak sesekali memandu laju. “Mereka hendaklah mematuhi peraturan jalanraya bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini,” tambah beliau lagi.

Jangan ceroboh negara jiran!


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : “Jangan sesekali cuba menceroboh masuk ke negara jiran tanpa menggunakan dokumen yang sah, terutama kepada rakyat negara ini khasnya yang tinggal di kawasan persempadanan negara Pulau Sebatik Malaysia-Indonesia”.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Yusof Abu Bakar berkata demikian kerana perbuatan tersebut boleh menimbulkan masalah hubungan antarabangsa kedua-dua negara terlibat, terutamanya jika mereka ditangkap pihak berkuasa negara jiran.

“Dulu pernah terjadi beberapa kes rakyat Malaysia dari negeri ini ditangkap kerana tiada dokumen di negara Indonesia. Kita harap perkara tersebut menjadi iktibar. Kita tidak mahu perkara sebegitu berlaku lagi kerana ia boleh menjejaskan imej negara”, katanya.

Beliau menasihatkan kepada individu agar terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan yang sah seperti pasport atau pas lintas batas dari pihak berkuasa sekiranya ingin pergi ke kawasan negara jiran.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa mengadakan tinjauan ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik di sini kelmarin.

Turut serta ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho, Pengarah Imigresen Sabah, Dato’ Baharon Talib, Pengarah Bahagian Kawalan Imigresen, Badarudin Chek dan Pengarah Bahagian Sistem Maklumat dan Rekod, Jamaludin Said.

Yusof berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengkaji keperluan membina sebuah Pos Kawalan Imigresen di pulau Sebatik.

Kajian tersebut katanya masih di peringkat awal, ini kerana hasil cadangan Majlis Keselamatan Negara dan hasil permintaan Kementerian Pertahanan Indonesia, semasa Mesyuarat Bilateral Jawatankuasa Sempadan yang diadakan pada Januari 2008 lalu.

“Kini kita masih lagi mengkaji perkara ini. Bagaimanapun, kita percaya Pos Kawalan ini penting untuk diwujudkan kerana kita juga tidak mahu rakyat negara jiran bebas untuk masuk begitu sahaja ke kawasan kita”, tambahnya lagi.

Sementara itu, Muis ketika ditemubual pula melahirkan keyakinannya yang lawatan itu akan memberi manfaat dan faedah yang besar kepada masyarakat, khasnya yang tinggal di pulau tersebut.

Mengenai pos kawalan, beliau yakin cadangan itu akan dapat mengawal kemasukan rakyat asing khasnya ke kawasan pulau terbabit, jika ianya direalisasikan.

Beliau juga menggesa, masyarakat di Pulau Sebatik supaya sentiasa mematuhi segala nasihat pihak Imigresen, serta dalam masa yang sama melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan jika mengetahui sebarang pencerobohan rakyat negara jiran ke negara ini.

Selepas meninjau kawasan perairan sempadan negara Malaysia-Indonesia, kesemua yang terlibat berkesempatan berkunjung bertemu masyarakat di Kg. Wallace Bay, Pulau Sebatik.

Hadir sama ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Sebatik, Jakaria Sulaiman.

“Saya akan sediakan bot,” kata Pang


Oleh : Muahlim Lise
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Pang Yuk Ming berkata beliau akan menyediakan sebuah bot di Kg. Langsat dan Kg. Kijang sebagai persiapan kecemasan sekiranya berlaku banjir di kawasan berkenaan.
Bot tersebut akan dilengkapkan dengan sebuah enjin 15 kuasa kuda dan ditempatkan di Balai Polis Merotai Besar yang diharap mampu membantu penduduk kampung berkenaan yang sering berhadapan dengan bencana banjir.
Menurut Pang, masalah banjir kerap terjadi apabila berlakunya hujan lebat di Ulu Sungai Merotai, dan pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah ini di bawah Pelan Mitigasi Banjir, yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Tambahnya lagi, baru-baru ini 15 buah rumah di kawasan berkenaan telah dinaiki banjir setinggi lima kaki, justeru pemberian bot ini diharap mampu meringankan beban penduduk kampung sekiranya masalah yang sama berulang.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk kampung agar sentiasa berwaspada dan meminta mereka menjaga anak-anak supaya tidak keluar bermain ketika berlakunya banjir untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin dalam menyelesaikan masalah banjir yang berlaku, kerana sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemimpin untuk membantu masyarakat di kawasan berkenaan,” jelas beliau.

Saturday, March 29, 2008

Sayap Ayam LELEK, Warisan Keluarga






Oleh: Muahlim Lise

“Sayap ayam, sayap ayam, pedal, hati, buntut”. Begitulah laungan seorang peniaga muda Melayu yang berketurunan Jawa, Iwan Supamri 27 tahun yang mewarisi perniagaan Allahyarham bapanya sejak bertahun lamanya. Kini dia menyambung populariti bapanya sebagai peniaga sayap ayam bakar yang boleh dikatakan paling mendapat perhatian oleh sesetengah pelanggan di sekitar Tawau.

Penglibatannya sebagai peniaga sayap ayam bakar sejak dia berusia lapan tahun lagi. Pada masa itu dia hanya membantu bapanya dalam menyiapkan jualan dan turut membantu untuk menjual sayap ayam di gerai makan Kong-Fah.

Tetapi kini semenjak bapanya pergi, dia meneruskan usaha tersebut dan mempunyai gerai sayap ayam bakar sendiri.

Seharian dia boleh menjual lebih kurang 200 ketul sayap ayam tidak temasuk hempedal, hati dan buntut. Pendapatan hariannya kira-kira RM500 ringgit semalam.

“Kadang-kadang sayap yang dijual tidak cukup berikutan permintaan yang banyak dari pelanggan yang sedia ada”, katanya.

Iwan yang dibantu oleh seorang pembantu bernama Sumak merasakan mereka perlu untuk memberikan layanan dan khidmat yang terbaik kepada pelanggan.

“Kadang kala ada orang yang buat tempahan lebih dari 300 ketul. Berikutan itu saya harus menyediakan sayap ayam yang lebih setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan”.

Pengalaman manis yang dia alami sepanjang penglibatan sebagai peniaga sayap ayam ialah, kebanyakan pelancong luar yang lalu pasti akan singgah untuk membeli sayap ayam bakar.

Sehingga kini, pelanggan yang sedia ada cukup berpuas hati dengan keenakan sayap ayam yang disediakan.
Peniaga di Tawau menjual sayap ayam dengan harga RM1.20 seketul manakala buntut, hati dan pedal juga dijual dengan harga yang sama bagi setiap cucuk. Bagi Iwan, makanan yang dijualnya mudah didapati iaitu di pasar malam terutamanya di Medan Anjung Selera dan Gerai makan Kong-Fah. Kedua-dua tempat tersebut beroperasi dari jam 4 petang hingga jam 12 malam.

Respon masyarakat tentang rancangan kerajaan kurangkan beban rakyat

Oleh: A M Fadzlee Sjamsulbari

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi baru-baru ini menghuraikan perancangan Kerajaan bagi melegakan keresahan rakyat berhubung kenaikan kos sara hidup yang menjadi isu dalam Pilihan Raya umum ke-12 ketika berucap pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008.

Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi mengetengahkan tiga langkah yang diambil kerajaan bertujuan meringankan beban rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Antara langkah yang diambil adalah kerajaan tidak akan menaikan harga minyak dan gas.

Pengumuman Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ini sekaligus menghapuskan spekulasi-spekulasi masyarakat mengenai tindakan Kerajaan menaikan harga minyak dan gas di pasaran.

Wartawan MESTI sempat menemubual masyarakat di sekitar Tawau bagi mendapatkan pandangan-pandangan mereka terhadap perkara ini.

“Tindakan kerajaan tidak menaikkan harga minyak dan gas memberikan kelegaan kepada saya khasnya dan masyarakat amnya, kerana kos untuk membeli minyak dan gas boleh dijimatkan dan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan asas yang lain”, kata Puan Musdah.

“Saya sebagai masyarakat Malaysia berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak menaikkan harga minyak dan gas. Ini kerana sekiranya harga minyak dan gas yang sedia ada dinaikkan, sedikit sebanyak agak membebankan saya yang berpendapatan rendah ini”, jelas Puan Faridah.

“Harga minyak dan gas yang ditetapkan ini mungkin tidak berapa pasti lagi kerana kerajaan terpaksa mengikut harga pasaran minyak dunia yang tidak berapa menentu. Namun saya berharap kerajaan dapat bertahan selama yang termampu agar rakyat tidak terbeban dengan masalah kenaikan harga minyak ini kelak”, kata Puan Shah.

Kegiatan ‘Curi Karan’ Berleluasa

Oleh : Bibi Biddin

SANDAKAN : Orang ramai yang bimbang meminta pihak berkuasa agar melakukan pemantauan lebih kerap di kawasan Perindustrian Sedco Bt. 3 berhubung kegiatan 'curi karan' yang sering berlaku di situ.

Kegiatan mencuri bekalan elektrik secara terus daripada kabel utama di tiang eletrik dengan cara penyambungan wayar sering berlaku di kawasan itu walaupun pihak SESB telah berulang kali melakukan pembaikan dan memotong wayar tersebut.

Tinjauan MESTI ke kawasan tersebut menyaksikan sambungan bekalan elektrik secara curi melalui pendawaian yang disambung terus ke lampu jalan itu merupakan satu tindakan nekad yang sangat berbahaya, selain terdapat wayar dan dawai yang terdedah dan mampu mengalirkan elektrik sekiranya hari hujan.

Menurut seorang saksi yang berkerja di kawasan itu, Chang 42, kegiatan mencuri bekalan elektrik kebanyakannya dilakukan oleh warga asing yang membina perumahan setinggan di kawasan yang berhampiran.

Katanya, kebimbangan sering terjadi sekiranya hari hujan berikutan pendawaian yang tidak sempurna itu boleh mengalirkan elektrik ke kawasan berlopak yang boleh mengakibatkan berlakunya renjatan kepada orang awam yang melalui kawasan itu.

Tambahnya lagi kegiatan mencuri bekalan elektrik itu juga mengakibatkan kekurangan tenaga bekalan berikutan sambungan pendawaian yang terlalu banyak yang menyebabkan kapasiti elektrik tidak dapat disalurkan secara sempurna.

Pengurus SESB Daerah Sandakan, Puan Madeline Chu ketika dihubungi berkata, walaupun mereka telah melakukan kerja pemantauan dan pembaikan berulang kali tetapi kegiatan mencuri bekalan elektrik itu masih berterusan berikutan keperluan perumahan setinggan yang terdapat di situ.

Menurut Chu, mereka dimaklumkan, Pihak Berkuasa Tempatan setakat ini telah melakukan tindakan menandakan kawasan perumahan yang terlibat untuk dirobohkan sebagai tindakan menghalang kegiatan 'curi karan' itu daripada berleluasa.

Bagaimanapun beliau menyarankan pihak yang berwajib agar memberi peluang kepada penduduk yang terlibat untuk membuat penyambungan elektrik secara sah kerana ianya merupakan salah satu usaha membendung kegiatan tersebut.

Ghapur letak jawatan? Apa pandangan masyarakat Tawau?

Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Baru beberapa hari Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Hj. Salleh memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, namun disebaliknya beliau melepaskan jawatan tersebut dengan alasan tertentu.

Seperti yang kita ketahui, perletakan jawatan itu telah pun diketahui samada dari mulut ke mulut, media masa seperti media cetak mahupun media elektronik.

Dalam pada itu, wartawan MESTI sempat menemubual beberapa masyarakat sekitar Tawau dan meminta komen mereka mengenai perletakan jawatan tersebut.

“Pada pandangan saya, jika alasan yang Datuk berikan adalah untuk kepentingan masyarakat, kita harus terima dan terus menyokong beliau”, Haslan 37.

“Kita terima keputusan beliau untuk meletakkan jawatan tersebut, memandangkan komen dan alasan yang diberikan adalah atas kebaikan beliau sendiri mahupun masyarakat”, Asnadi 23.

“Sememangnya kita kena terima apa jua keputusan dari mereka yang meletak jawatan atas sebab-sebab tertentu. Namun seperti yang Datuk Ghapur lakukan adalah atas kebaikan semua, walaupun pada pandangan sesetengah orang tidak baik, tapi bagi saya, saya menerima tindakan beliau dengan hati terbuka”, Sony 27, pelajar.

“Pertama sekali saya kurang bersetuju dengan perletakan jawatan tersebut, tapi apabila saya mendengar komen beliau dan sebab-sebabnya, akhirnya saya akur dan bersetuju dengan keputusan itu”, Noreen 35,peniaga.

“Saya rasa cukup baik bagi kita menerima segala tindakan positif Wakil Rakyat Kalabakan untuk tidak menjawat apa juga jawatan dalam kabinet kerajaan Malaysia atas alasan untuk kebaikan masyarakat”, Fadzlee 20, penulis sambilan.

Sementara itu, kami juga menerima komen tidak setuju atas perletakan jawatan tersebut.

“Saya kurang bersetuju Datuk meletak jawatan, kerana beliau cukup berwibawa dalam apa juga tugas yang diberikan, tapi sebaliknya terpaksa akur dengan tindakan beliau”, Kassim 40, pekerja swasta.

“Saya rasa cukup bangga sekali ada warga Tawau yang menjadi Menteri, tapi kenapa pula Datuk meletak jawatan? Saya kurang setuju, tapi terpaksa akur dengan apa yang beliau kehendaki”, Samad 33, guru.

Bagaimanapun pandangan yang kami perolehi kebanyakannya bersetuju dengan tindakan Datuk Ghapur.

Wednesday, March 26, 2008

Ghapur Letak Jawatan Timbalan Menteri


Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ghapur Salleh telah menghantar surat perletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri hanya selepas 8 hari dilantik.
Beliau menghantar surat perletakan jawatannya kelmarin kepada Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Hj Ahmad Badawi.
Walaupun begitu, beliau akan meneruskan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Kalabakan dan Ahli Parlimen Kalabakan.
Beliau menafikan bahawa beliau akan keluar parti atau menyertai parti-parti lain dan meminta supaya masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi keatas keputusannya.
“Saya tidak berminat dengan jawatan kerajaan dan hanya ingin melakukan kerja saya sendiri” ujar beliau.
Ditanya kenapa beliau hanya meletakkan jawatan sekarang, Ghapur menyatakan “ saya tidak mahu terikat dengan tugas-tugas kerajaan”.
“Saya menyerahkan perkara ini kepada Perdana Menteri” ujar Ghapur yang pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan meletakkan jawatan pada 1997 tetapi kembali ke kabinet negeri beberapa tahun kemudian.
Ghapur, 64 adalah Ahli Parlimen kedua selepas Datuk Anifah Aman yang juga meletakkan jawatan dalam barisan kabinet yang disenaraikan oleh Perdana Menteri pada 18 Mac baru-Baru ini.


Sumber: Star Online

Rosnani: Pembekal Beras Bumiputera


Oleh: A M Fadzlee Sjamsulbari

Berbekalkan semangat “pantang menyerah sebelum kalah”, Rosnani Ahmad memulakan perniagaan kedai runcit beliau secara kecil-kecilan dengan dibantu seramai 2 orang pekerja.

Awal tahun 2000 merupakan permulaan usaha beliau dalam meluaskan empayar perniagaan beliau.

Dengan hanya bermodalkan RM5,000, Rosnaini membeli barang-barang runcit untuk dimuatkan ke dalam kedai beliau.

Sedikit demi sedikit beliau menambah modal beliau bagi membesarkan lagi perniagaan yang saban hari semakin menunjukkan potensi yang memberangsangkan.

Akhirnya, Rosnaini berjaya menukar kedai runcit beliau kepada sebuah syarikat yang diberi nama Syarikat Seri Mawar. Beliau bukan saja membekalkan barang-barang runcit tetapi juga menjadi pemborong beras di sekitar Daerah Tawau termasuk Semporna dan Kunak.

Beliau juga mengorak langkah yang lebih besar lagi dalam perniagaan memborong beras dengan membeli sebuah mesin pengapit beras bertujuan untuk mengapit sendiri produk beras di bawah nama syarikat beliau.

Rosnaini menegaskan kepada sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang perusahaan ini, terutama golongan Bumiputera, haruslah menanamkan sikap berani mengambil risiko, tabah mengharungi pelbagai dugaan, berdisiplin dalam menguruskan kewangan dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri.

Di samping itu, beliau juga menyeru agar golongan pengusaha Bumiputera sentiasa saling bantu-membantu di antara satu sama lain dan mengamalkan persaingan yang sihat dalam menjalankan perniagaan.

“Seandainya anda menghadapi kekurangan bekalan beras, datang sahaja ke Syarikat Seri Mawar yang terletak di Kampung Jawa, saya pasti akan memberikan layanan yang terbaik kepada anda”, pesan terakhir Rosnaini sambil tersenyum.

* Harga minyak, gas kekal * Tarif elektrik tidak naik *

KUALA LUMPUR : Kerajaan kelmarin mengumumkan akan memperkenalkan tiga langkah khusus bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Selain tiga langkah itu, kerajaan turut menyatakan ia tidak akan menaikkan harga minyak dan gas pada masa ini.
Berikutan keputusan tersebut, kadar tarif elektrik sedia ada akan dikekalkan.
Dalam ucap utamanya pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan perancangan bagi melegakan keresahan rakyat berhubung kenaikan kos sara hidup yang menjadi isu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Tiga langkah itu ialah:
* Mengurangkan impak kenaikan harga minyak dunia bagi golongan berpendapatan rendah dengan mengurangkan pembaziran dan kerugian kesan daripada subsidi.
* Mengkaji semula pelaksanaan rancangan-rancangan ekonomi bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai golongan yang benar-benar memerlukan.
* Kerajaan akan terus bekerja ke arah mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan-kumpulan etnik, dan pada masa yang sama memastikan keadilan untuk semua rakyat.
(Sumber : Utusan Online)

Pelajar disaran tingkatkan mutu pembacaan Al-Quran, JHEAINS

Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU: Selain mendalami mata pelajaran Bahasa Arab yang menjadi bahasa kedua yang diajar di sekolah-sekolah Agama, pelajar disarankan agar sentiasa meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran di setiap Sekolah Agama JHEAINS di daerah ini.
Penyelia Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Bahagian Tawau, Hajah Armah Haji Ahmad berkata, mereka juga haruslah melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
“Saya amat berharap agar aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan oleh JHEAINS dapat dijadikan wadah dalam menjana sistem pendidikan yang berasaskan Al-Quran dan Assunnah,” katanya ketika merasmikan Majlis Ko-Kurikulum Sekolah-sekolah di bawah JHEAINS Peringkat Daerah Tawau di SAR Ladang Tiger di sini.
Dalam hal berkaitan, beliau melahirkan harapannya agar para pelajar sekolah-sekolah terbabit dapat dilahirkan menjadi insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berupaya menjadi Modal Insan Cemerlang untuk Agama, Bangsa dan Negara. Namun demikian, kerjasama semua pihak jelasnya amatlah diharapkan bagi memastikan generasi pelajar berkenaan berupaya untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Peserta dari Tawau Pemenang Kuiz SHAHADAH 3


Oleh: Hasnah Kassim

TAWAU - Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kuiz Syahadah 3 telah diadakan di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 25 Mac 2008 yang disiarkan secara langsung melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Salah seorang pemenang kuiz tersebut ialah Encik Mashor Sharif Kutoh yang bertugas di SK. Tanjung Batu Tawau memenangi pakej pelancongan ke China.

Ketika ditemui sekembalinya ke Tawau, beliau melahirkan perasaan gembira dan memanjatkan syukur atas anugerah Allah s.w.t. kerana antara ratusan ribu penyertaan yang diterima di seluruh Malaysia beliau merupakan antara peserta yang bertuah.

“Siri dokumentari Syahadah perlu ditonton oleh masyarakat Islam memandangkan rancangan tersebut banyak memberi gambaran sebenar tentang bagaimana masyarakat Islam minoriti yang mendiami sesebuah wilayah atau negara mengimplimentasikan Islam sebagai satu cara hidup”, ujar beliau.

Para pemenang ditawarkan hadiah empat pakej menunaikan umrah bernilai RM20,000 dan empat pakej pelancongan ke Beijing, China bernilai RM10,000 tajaan UTAS Travel & Tours Sdn. Bhd.

RTM telah menyiarkan dokumentari Syahadah 3 sepanjang bulan Ramadan tahun lalu yang merupakan sambungan daripada program tersebut yang diperkenalkan sejak tahun 2005 pada setiap Ramadhan. Sebanyak 700,000 penonton direkodkan pada setiap episod.

Syahadah 1 sebelum ini menyusuri negara-negara seperti Arab Saudi, Turki, Yemen, Syria, Kemboja, Thailand, Brunei dan Hong Kong manakala Syahadah 2 bertumpu ke negara China.
Siri dokumentari Syahadah 3 yang disiarkan sebanyak 30 episod melibatkan penggembaraan di 15 wilayah India antaranya meliputi Kerala, Tamil Nadu, Karnata, Andhra Pradesh, West Benggal, Uttar Pradesh, Jammu Kashmir serta di Sri Lanka yang melibatkan bandar Colombo, Galle dan Hambantota. India dipilih sebagai destinasi dokumentari tersebut berikutan negara itu mempunyai banyak tinggalan sejarah kejayaan tamadun kebangkitan Islam yang boleh dijadikan panduan kepada masyarakat.

Sambutan Hari Polis ke-201




Oleh: Noorulzaman Sodiq

TAWAU : “Tegas Adil dan Berhemah” adalah motto baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-201.

Hari ini juga merupakan hari bersejarah bagi pasukan Polis kerana semua kontinjen akan menjayakan sambutan serentak di seluruh Malaysia.

“PDRM telah banyak mengharungi pelbagai kenangan pahit manis dalam usaha memastikan kesejahteraan dan keselamatan Negara sentiasa terpelihara”, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Hj. Ramli Ali Mat semasa membaca perutusan Ketua Polis Negara di Perhimpunan hari Polis di Perkarangan Balai Polis Tawau Kelmarin.

“Justeru itu semua peringkat pegawai dan anggota adalah diingatkan supaya sentiasa menanamkan semangat cintakan Negara”, sambung beliau lagi.

Katanya, dengan terlancarnya motto baru iaitu “Intregriti Amalan Kita” pada tahun ini tertumpu kepada tanggungjawab peribadi dari semua peringkat jawatan yang mana perlu diasah dan diterapkan di setiap diri bagi menjamin matlamat slogan iaitu “Tegas, Adil dan Berhemah” akan tercapai.

Tambahnya, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan pihak polis supaya sama-sama dapat mengurangkan kes-kes jenayah sekaligus membasmi jenayah yang berlaku di daerah Tawau.

Beliau juga sempat memotong kek sempena menyambut Hari Polis ke-201 bersama para jemputan khas.

Kehadiran dianggarkan lebih kurang 2000 orang termasuk kontinjen.

Monday, March 24, 2008

MRSM TAWAU MULA BEROPERASI



Oleh: Amir Anuar

Tawau : Seramai 500 orang termasuk pelajar dan ibu bapa menghadiri Hari Pendaftaran Pelajar Baru di MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) Tawau yang dibuka kelmarin.

MRSM Tawau yang baru ditubuhkan menerima pendaftaran 84 pelajar untuk kemasukan ke tingkatan satu dan 76 pelajar untuk kemasukan ke tingkatan empat.

Pengetua MRSM, Wan Abdul Ghani Wan Abdullah dalam taklimatnya bersama pelajar dan ibubapa, mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar barunya dan juga ibu bapa yang sanggup meluangkan masa menghadiri sesi pendaftaran berkenaan.

“Semoga para pelajar akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan demi meneruskan kecemerlangan dalam pelbagai aspek merangkumi bidang akademik, ko kurikulum dan sahsiah diri”, kata beliau.

Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada ibubapa yang sanggup meletakkan kepercayaan kepada mereka sekalipun MRSM Tawau baru pertama kali melakukan pengambilan pelajar.

Sementara itu Penyelaras Jawatankuasa Hari Pendaftaran dan Minggu Penyesuaian Diri, Kamarudin Sagiman, berpuas hati dengan kelancaran proses pendaftaran yang telah diatur, dan berpuas hati dengan komitmen petugas yang terdiri daripada guru dan kakitangan MRSM sendiri.

Tambah Kamarudin, pihaknya telah menyediakan beberapa program yang perlu diikuti pelajar sepanjang minggu orientasi ataupun Minggu Penyesuaian Diri yang diharap mampu melengkapkan pelajar dalam suasana baru sebelum memulakan rutin harian sebagai pelajar di MRSM Tawau.

Antara program yang diatur ialah Penyesuaian Diri Bersama Kaunselor dan Penasihat Homeroom (Unit Keluarga Angkat), pendaftaran ko-kurikulum, pertandingan persembahan dan sukan (untuk menilai kreativiti dan kerjasama pelajar), “Explorace Maktabku”, dan pengisian rohani.

Para pelajar yang ditemui rata-ratanya gembira selepas mendapat tawaran ke MRSM Tawau, sekalipun berada jauh dari tempat kediaman, namun peluang yang hadir sukar untuk dilepaskan.

Pelajar tingkatan empat, Ariefwan Azman, meluahkan rasa gembiranya kerana berpendapat peluang berkenaan merupakan jalan untuknya memperolehi masa depan yang lebih cerah, dan berazam untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.

“Saya berasa gembira apabila mendapat tawaran ini kerana dah terlalu lama saya berharap untuk melanjutkan pelajaran di MRSM, namun sedikit terkilan kerana terpaksa berada jauh di samping keluarga”, kata pelajar tingkatan empat, Fatin Nadzirah.

Sementara itu, pelajar tingkatan satu, Dayang Khairunnisa Norafandi pula meluahkan rasa bangganya kerana berjaya mendapat tempat di MRSM yang terbukti kredibilitinya di dalam melhirkan pelajar cemerlang, sambil berazam untuk meningkatkan pelajaran demi kebanggaan kedua ibubapanya.

Dalam pada itu seorang ayah pelajar, Hakim Hj Muharram yang berasal dari Lahad Datu, meluahkan harapannya agar anaknya mampu mencapai segala yang diimpikan dan dapat menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Datuk kepada salah seorang pelajar, Kapten Jukim Hj. Jamudin yang datang dari Kota Kinabalu pula mengakui berasa bersemangat ke Tawau semata-mata untuk menghantar cucunya menyambung pelajaran di tempat yang lebih baik, dan merakamkan penghargaan kepada MRSM.

Sunday, March 23, 2008

Menjana Ummah Gemilang di Dunia dan Akhirat


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU: Umat Islam harus membuktikan kasih sayang terhadap Rasulullah S.A.W dengan mengamalkan segala ajaran yang dibawanya.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan setakat diraikan, malah yang lebih utama ialah mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, semoga menjadi teladan dan idola kepada kita semua.

Justeru itu katanya, umat Islam seharusnya memperbanyakkan amalan dan mengelakkan segala persengketaan atau hasad dengki yang sering berlaku pada masa kini kerana ia akan menghancurkan umat Islam itu sendiri.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran Surah Pendek dan Azan Kanak-kanak Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampung Titingan di sini kelmarin.

Katanya lagi, umat Islam harus berani melakukan perubahan besar terhadap diri dengan mencontohi segala perlakuan dan sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Pada masa yang sama, beliau berkata usaha mengadakan pertandingan tilawah Al-Quran ini adalah satu usaha yang baik dalam membentuk peribadi golongan muda Islam.

Sehubungan itu, beliau meminta agar ibu bapa seharusnya memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama secukupnya sebagai satu bekalan menghadapi zaman yang begitu mencabar dan sekali gus dapat menjana ummah gemilang di dunia dan akhirat.

Seramai lebih 70 kanak-kanak menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran Surah Pendek dan Azan Kanak-kanak yang diadakan selama sehari.

Peluang belajar bagi lepasan STPM & SPM


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Pusat Pengajian Tinggi Tempatan atau Swasta banyak menyediakan peluang-peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Salah satu Kolej yang sedang menarik minat para lepasan STPM dan SPM adalah Kolej Yayasan Sabah (KYS).

Ketua Eksekutif Kolej Yayasan Sabah (KYS), Dr. Dayang Aminah Ali berkata, kepada pelajar lepasan STPM dan SPM dialu-alukan untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh KYS kerana kebanyakan kursus yang disediakan adalah kursus teknikal, professional dan akademik.

Katanya, pelajar-pelajar yang layak dan mempunyai pendapatan keluarga yang rendah akan diberikan keutamaan untuk memasuki KYS.

“KYS juga berkerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi melahirkan gunatenaga yang menyeluruh bagi menepati kehendak Negara”, katanya lagi.

KYS menawarkan 4 kursus peringkat Diploma iaitu Dip. Teknologi Automotif (DTA)-LAN, Dip.Teknologi Binaan Bangunan(DBB)-LAN, Dip. Pengurusan Teknologi (DDG) dan Dip. Pengurusan Teknologi Perakaunan (DDW).

Manakala 4 kursus peringkat Sijil iaitu Sistem Maklumat (tahap 2, 3 & 4), Mekanik Kenderaan Motor (tahap 1, 2 & 3), Jurubina Bangunan (tahap 1, 2 & 3) dan Pembuatan Perabot (tahap 1 & 2).

Kepada mereka yang layak, bantuan kewangan seperti Biasiswa dan Pinjaman Kewangan akan disediakan bagi memudahkan segala urusan pembelajaran.

Turut hadir di taklimat tersebut adalah Ahli Lembaga Peladang Tawau Arif Hj. Mahmud dan lebih kurang 20 orang pelajar.

Taklimat tersebut telah diadakan di bilik mesyuarat Jabatan Perladangan Tawau kelmarin.

Majlis memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W




Oleh: Muahlim Lise

Kehadiran Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah SWT.
Setibanya hari tersebut, maka umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan acara seperti perarakan umat Islam, ceramah, bacaan Al-Quran dan sebagainya yang termaktub dalam Islam.
Baru-baru ini satu Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Mukarramah Kg. Tanjung Batu Laut yang disempurnakan oleh Wakil Rakyat Sebatik, Abdul Muis Picho yang mewakili Wakil Rakyat Tanjung Batu, Datuk Hjh. Hamisah Samat yang tidak dapat hadir.

Majlis itu diadakan bertujuan untuk mengenal erti ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W, yang harus diterapkan seawal usia muda agar ianya menjadi satu pedoman dalam hidup sepertimana ibadah yang diwajibkan dalam Islam.

“Kita harus terapkan ilmu agama kepada anak-anak kita sejak mereka kecil lagi. Apabila mereka memiliki pengetahuan agama, sudah tentu kejayaan mereka sebagai seorang individu Islam akan lebih bermakna,” katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Muis juga menyarankan agar seluruh Umat Islam mengenang jasa Nabi Muhammad S.A.W dalam perjuangannya menegakkan dan mengajar pedoman dalam Islam.

Beliau menegaskan umat Islam haruslah bersatu-padu dalam memartabatkan Islam dan mencontohi sifat-sifat mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Di samping itu juga, masyarakat Islam dinasihatkan supaya tidak mengabaikan kepentingan memberi pendidikan agama kepada anak-anak mereka, meskipun senario hari ini semakin menuntut agar setiap generasi muda memiliki pengetahuan di dalam bidang akademik.
Allah S.W.T akan memberkati sesiapa yang mengadakan majlis sempena Maulidur Rasul kerana keberkatannya bukan sahaja diperolehi oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu.

Muis juga memuji pihak Tadika al-Ikhwan dan Syarikat global Ikhwan dalam menjayakan dan melaksanakan program yang dikatakan menyemarakkan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah S.A.W dan ajaran Islam.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1000 orang, pelbagai program kebudayaan dilangsungkan seperti persembahan bacaan puisi, nasyid, pentomen dan persembahan dari kanak-kanak tadika.
Terdahulu sebelum ke majlis itu, Muis turut berkesempatan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Mukarramah Kg. Tanjung Batu Laut, sebagai mewakili Wakil Rakyat kawasan terbabit, Datuk Hajah Hamisah Haji Samad.

Wednesday, March 19, 2008

Sebuah Rumah Musnah Akibat Kebakaran di Kg. Titingan

Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Satu kebakaran yang mengakibatkan sebuah rumah musnah manakala tiga lainnya rosak dalam satu kejadian pada 18hb lalu di Block 6, Kg. Titingan pada kira-kira jam 5.00 petang.

Pihak Bomba yang menerima panggilan pada pukul 5.31 petang, bergegas ke tempat kejadian bersama 2 jentera serta 15 anggota yang diketuai oleh Johny Oyong.

“Kami tiba ke tempat kejadian pada pukul 5.39 petang dan didapati sebuah rumah sedang terbakar”, beliau berkata selepas ditemui pemberita dan wartawan di tempat kejadian.

Jalan yang sempit agak menyukarkan jentera bomba untuk menuju ke tempat kejadian dan berikutan itu, penduduk di situ bekerjasama dengan pihak bomba bagi mengawal api dalam masa kira-kira 5 minit.

Menurut salah seorang mangsa yang rumahnya hampir terbakar, Kamansiah Chan 40, rumah yang terbakar itu sememangnya tidak berpenghuni bertahun-tahun tetapi masih mempunyai kelengkapan rumah dan jarang sekali pemiliknya datang untuk menjenguk rumah tersebut.

Api dapat dipadam sejam kemudian dan didapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan serta punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Tawfiq: Pemimpin Berkaliber



Oleh:Muahlim Lise

Yang Berhormat Datuk Tawfiq Hj. Abu Bakar Titingan, 45, merupakan Ketua Umno Bahagian Tawau yang mempunyai kelulusan ijazah dalam bidang kimia dari University of Glamorgan, Wales, United Kingdom.

Beliau yang juga merupakan calon Barisan Nasional (BN) Bahagian Apas telah memenangi Pilihan Raya yang Ke-12 baru-baru ini, dengan majoriti besar 3,068 dengan undian sebanyak 5,409 menewaskan PKR yang mendapat 1,801 undi, menunjukkan sekali lagi Barisan Nasional menguasai Bahagian Apas.

Sebelum ini beliau yang pernah menjawat jawatan sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar kini telah bertukar jawatan dan telah diamanatkan menjawat jawatan sebagai Pembantu Menteri Kewangan yang sebelum ini disandang oleh Datuk Sapawi Ahmad.

Datuk Sapawi Ahmad memberikan keyakinan kepada Tawfiq dalam menjalankan tugas disamping tanggungjawab dan amanah yang harus dipikul oleh beliau bagi melaksanakan tugas barunya demi memastikan pentadbiran dan urusan Negara berjalan dengan berkesan serta membantu Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman yang juga Menteri Kewangan.

“Kita akan bekerjasama kepada beliau (Musa) untuk memastikan negeri ini dapat terus dimajukan sesuai dengan halatuju pembangunan negeri yang dicetuskan oleh Ketua Menteri seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-9 dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC)”, kata Tawfiq ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Tawfiq akan memastikan rakyat dapat dibantu dalam menikmati keamanan dan kemakmuran negeri ini.

Beliau juga akan berusaha dengan sebaik mungkin bagi memastikan dirinya dapat melaksanakan amanah yang diberikan kepadanya melalui portfolio baru tersebut.

Tawfiq telah menerima penyerahan tugas sebagai Pembantu Menteri Kewangan di Wisma Kewangan dari Datuk Sapawi pada 17 Mac baru-baru ini.

Tuesday, March 18, 2008

Perlantikan Ghapur Dilihat Sebagai Satu Kejayaan Rakyat


Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Datuk Ghafur yang merupakan Ahli Parlimen Kalabakan menyifatkan pengumuman beliau sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, adalah satu lagi kejayaan rakyat di Bahagian Kalabakan.

Perlantikan itu katanya, satu hadiah yang sangat bermakna apabila rakyat di kawasan tersebut memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) pada musim Pilihan Raya Ke-12 baru-baru ini.

“Saya amat bersyukur di atas nikmat Allah S.W.T ini dan saya juga amat berterima kasih kepada Perdana Menteri YAB Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan Ketua Menteri YAB Datuk Seri Musa Haji Aman di atas kepercayaan yang diberi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berjanji bagi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan sepenuh hati terutama membantu kerajaan dan Menterinya Datuk Douglas Uggah Embas dalam mengurus tadbir sumber asli dan alam sekitar.

Untuk kejayaan itu, Ghapur telah memenangi kerusi Parlimen Kalabakan pada Hari Penamaan Calon pada 24 Mac lalu, manakala Dun Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik juga dimenangi oleh Barisan Nasional (BN).

“Kementerian ini sebenarnya agak penting untuk masyarakat di bandar mahupun di luar bandar. Banyak kejadian seperti banjir dan pencemaran berlaku sebelum ini. Oleh itu, sebagai Timbalan Menteri, saya akan berusaha melakukan yang terbaik,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata demikian ketika ditemui di kediamannya, sebaik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selesai mengumumkan senarai Jemaah Kabinet melalui kaca-kaca televisyen, kira-kira jam 12.00 tengahari kelmarin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai rombakan dan pengecilan jemaah kabinet tersebut pula, beliau melahirkan keyakinannya bahawa perkara itu telahpun dikaji dalam memastikan sistem pentadbiran negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Jemaah Kabinet ini saya lihat sebagai ‘actional oriented’ kerana ia mengambilkira semua aspek. Ia bersesuaian dengan konsep dan semangat perkongsian kuasa yang menjadi asas kepada pembentukan kabinet ini,” kata beliau.

Justeru itu, beliau menyarankan agar seluruh masyarakat dapat memberikan kerjasama kepada barisan kebinet yang baru dilantik, supaya mereka dapat menerajui pentadbiran Negara dengan sempurna.