Sunday, April 20, 2008

PHD tidak perlu ada dalam jiwa usahawan bumiputer



Oleh ; Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Masyarakat bumiputera disarankan agar melibatkan diri dalam perniagaan bagi meningkatkan bilangan usahawan bumiputera di negara ini khasnya di daerah Tawau.

Pelbagai peluang yang telah diberikan oleh kerajaan termasuklah menyediakan kursus kontraktor, bantuan pinjaman perniagaan serta galakan bumiputera dalam perniagaan, supaya usahawan bumiputera lebih cekap dan lebih berjaya serta dapat bersaing dengan usahawan bukan bumiputera yang lain.

Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Hj. Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata demikian, ketika menghadiri untuk merasmikan Syarikat Shanti Butik dan Tailor sebuah syarikat Bumiputera baru-baru ini di sini.

Beliau juga menasihatkan agar usahawan bumiputera sentiasa peka dengan kemajuan dan mengutamakan kepentingan negara dalam pembangunan ekonomi supaya matlamat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 akan terlaksana.

Katanya lagi, sikap perasaan hasad dengki (PHD) dan iri hati tidak perlu ada di dalam jiwa seseorang usahawan, ini kerana ia merupakan faktor utama dalam meruntuhkan maruah dan penyebab usahawan bumiputera tidak setanding dan gagal dalam perniagaan.

Maka dengan itu katanya, sikap “orang lain boleh buat, kita orang melayu pun boleh” perlu ditanamkan dalam jiwa setiap usahawan bumiputera bagi pemberi semangat dalam merealisasikan impian dan kejayaan sesebuah perniagaan.

Tambahnya, dengan menghasilkan produk pengeluaran yang bermutu, perkhidmatan pelanggan yang baik dan semangat berdaya saing, juga dapat menjamin supaya perniagaan atau syarikat akan sentiasa kukuh.

Tawfiq juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada Hassan Sakti selaku pemilik Syarikat Shanti Butik dan Tailor kerana menyahut seruan kerajaan dalam memperbanyakkan penglibatan usahawan bumiputera khasnya di daerah ini.

Kaum wanita perlu lebih bijak manfaatkan kemahiran


Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU: Pelbagai peluang dan kemahiran yang disediakan oleh kerajaan untuk kaum wanita pada hari ini, untuk dimanfaatkan bagi memajukan diri serta menjadi sumber mempertingkatkan ekonomi keluarga perlu direbut.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri N.60 Sebatik, Hji Abd. Muis Haji Picho, kaum wanita harus lebih bijak kerana ketika ini, terdapat pelbagai bentuk kursus jangka panjang atau jangka pendek disediakan kerajaan, termasuklah untuk mereka yang kurang berkemampuan.
“Kemahuan harus ada pada diri setiap individu. Jika kita ada kemahiran, kita boleh menambah pendapatan keluarga sekaligus membebaskan diri kita dari belenggu kemiskinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Kursus Kraf Tekstil dan Ketrampilan Imej, anjuran bersama Pusat Giat Mara dan Astral Training and Development Sdn. Bhd.
Kursus yang disertai 30 peserta itu telah berlangsung selama lima hari, di salah sebuah hotel terkemuka di bandar ini.
Dalam pada itu, Muis menasihatkan semua peserta kursus yang terdiri dari Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) supaya tidak mensia-siakan pengetahuan dan kemahiran yang telah diperolehi mereka.
Jika tidak katanya, kemahiran yang telah dipelajari tentunya tidak akan bermakna dan tidak akan dapat mencapai sasaran dan objektifnya.
Dalam hal berkaitan, beliau turut memuji hasil kerja tangan para peserta kursus, sambil melahirkan keyakinannya bahawa kraf-kraf tekstil tersebut boleh memenuhi kehendak pasaran.
Sementara itu, Pengurus Kanan Pusat Giat Mara Tawau, Asmuran Asnawi ketika ditemui berkata, kursus berkenaan adalah untuk golongan KIRT yang telah dikenalpasti di setiap kawasan Dun, bertujuan memberi mereka kemahiran diri bagi meningkatkan ekonomi keluarga.
Setelah diberikan kursus jelasnya, para peserta akan diberikan pula instrumen untuk memulakan perniagaan dan perkembangan mereka akan dipantau dari semasa ke semasa.
“Kita harap lebih ramai KIRT dapat dikeluarkan dari senarai kemiskinan dengan adanya usaha kerajaan seumpama ini,” katanya sambil memberitahu bahawa setiap peserta kursus terbabit diberikan sebuah mesin jahit elektronik dan peralatan menjahit.
Terdapat juga pelbagai jenis kraf tekstil yang dihasilkan para peserta dan dipamerkan di ruang tersebut.
Pada majlis penutupan itu, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan ratu fesyen dari para peserta.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan Astral Training and Development Sdn. Bhd, Sharifah Mariam Mustamin.

CASH lantik ejen pengeksport tunggal besi buruk

Oleh : Muahlim Lise

TAWAU : Melantik ejen pengeksport tunggal besi buruk di negeri ini yang disokong penuh oleh Persatuan Pengguna Sabah (CASH), merupakan satu tindakan yang baik oleh kerajaan negeri dalam menangani kes curi besi.

Timbalan Presiden CASH, Sylvester Sakin Taing berkata, kecurian yang membabitkan harta kerajaan dan industri perkilangan boleh menyebabkan pihak yang terlibat mengalami kerugian.

Mengikut jumlah statistik, dianggarkan 119 kes curi besi yang melibatkan kerugian RM750 ribu pada tahun 2004, 237 kes curi melibatkan kerugian RM1.9 juta tahun 2005 dan 519 kes curi meningkat kepada kerugian RM2.4 juta bagi tahun 2006.

Dalam pada itu, kemalangan juga sering berlaku akibat daripada mereka yang tidak bertanggungjawab dengan mencuri besi yang boleh menimbulkan suasana kurang selesa kepada masyarakat.

Sylvister menyatakan, kerajaan akan melantik ejen bagi pengeksportan tunggal besi buruk dan ejen itu hendaklah memantau secara teliti bagi membantu dalam mencegah kes-kes curi besi buruk.

Jelasnya, ejen yang dilantik itu bukan bertujuan mengganggu perniagaan pengusaha besi buruk, tapi ianya bagi memastikan sistem pengurusannya berjalan dengan lancar dan sistematik.

Sylvester yang juga Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT) berkata demikian dalam kenyataan akhbarnya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, beliau menegaskan kerajaan harus memastikan pengusaha besi buruk yang ada dapat beroperasi serta dibenarkan dengan lesen sekaligus memperolehi keuntungan dalam perniagaan itu.

Ujarnya lagi, satu cadangan agar pengusaha dikenakan deposit dan jika didapati mereka membeli besi yang dicuri, maka wang deposit akan dikurangkan bagi menggantikan harga besi tersebut serta lesen akan disenarai hitamkan.

Perkara demikian akan mewujudkan harga pasaran yang stabil dan isu perniagaan tidak timbul kerana pengusaha yang sedia ada boleh terus berniaga.

Jimmy Wong ditumbuk!


Oleh : Noorulzaman Sodiq / A M Fadzlee Sjamsulbari

TAWAU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung yang merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang (DAP), Jimmy Wong, dilaporkan telah ditumbuk di bahagian dada sebelah kiri bertempat di persekitaran bangunan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) baru-baru ini.

Menurut akhbar tempatan, perkara itu terjadi pada khamis lepas, ketika beliau datang membuat aduan berhubung masalah tempat letak kereta di hadapan bangunan MPT kerana berlangsungnya penyerahan poster oleh konvoi bermotorsikal sempena sambutan Regatta Lepa di Semporna.

Difahamkan lelaki tersebut bukan kakitangan MPT dan dalam kejadian itu juga seorang wartawan akhbar Cina dilaporkan turut dikejar ketika cuba merakamkan insiden itu berlaku..

Jimmy dan wartawan terbabit bagaimana pun tidak ingin memperbesarkan isu tersebut, termasuklah membuat laporan polis dan telah pun memaafkan lelaki terbabit.

Bagaimanapun, Jimmy menyatakan beliau melihat insiden itu sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi oleh beliau apabila ingin menegakkan hak rakyat.

Sementara itu, Presiden Majlis Perbandaran Tawau Haji Salsidu Haji Ibrahim ketika dihubungi dan diminta mengulas perkara yang berlaku, enggan memberi sebarang komen kepada pihak media.

LIEW KELUAR PARTI


Oleh : A M Fadzlee Sjamsulbari

Tawau : Mantan menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap naib Presiden Parti LDP, Datuk Liew Yun Fah bersama kira-kira 1,000 ahli LDP dari Merotai dan Balung mengambil tindakan untuk keluar dari parti komponen Barisan Nasional (BN).

Turut membuat keputusan yang sama ialah tiga pemimpin parti LDP yang digantung bersama-sama beliau iaitu Ahli Majlis Tertinggi, Francis Chang, Ketua Pemuda Merotai, Vun Nyuk Onn dan Ketua Bahagian Balung, Raymond Sia Vun.

Menurut Liew, keputusan keluar dari parti itu dibuat atas kesepakatan bersama penyokong-penyokong beliau kerana Liew percaya yang pemimpin-pemimpin LDP sememangnya ingin menyingkirkan mereka dari menjadi ahli parti berkenaan.

Namun apa yang mereka kesalkan, keputusan penggantungan mereka sebelum ini tidak dimaklumkan secara rasmi dan mereka hanya mengetahuinya melalui siaran media massa.

Surat rasmi penggantungan hanya mereka terima pada rabu lepas.

“Mereka tuduh kami sabotaj parti masa pilihanraya dulu, tapi saya rasa semua orang boleh fikir kalau kami sabotaj parti, sudah tentu sekarang ini Dun Merotai tidak diwakili oleh pemimpin dari LDP,” katanya.

Beliau juga menyatakan sebelum ini, mereka tidak pernah dipanggil untuk memberi penjelasan mahupun membela diri tetapi terus digantung keahlian oleh pemimpin parti itu.

Menjawab mengenai halatuju kumpulan mereka, Liew menyatakan yang mereka masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana parti lain meskipun sebelum ini banyak menerima tawaran termasuk dari parti pembangkang.

“Kami masih setia dengan BN. Kami tidak akan khianati Pak Lah, Datuk Seri Najib, Datuk Musa Aman serta ahli-ahli kabinet lain. Kami tidak akan menyertai pembangkang,” katanya.

Ditanya mengenai ura-ura beliau menerima tawaran dari sebuah parti kompenan BN iaitu Parti Progresif Rakyat (PPP), beliau mengesahkan perkara itu tetapi menyatakan yang tawaran itu masih perlu difikirkan dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya kepada media di kediaman beliau pada khamis lepas.

Dikesempatan itu juga, beliau melahirkan harapannya agar pengganti beliau iaitu Pang Yuk Ming yang kini menyandang jawatan Adun Merotai agar memegang mandat yang diberi rakyat dengan sebaik-baiknya.

Beliau juga menyatakan akan sentiasa bersikap terbuka dalam menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada rakyat Merotai sekiranya beliau masih diperlukan.

Friday, April 18, 2008

Kegiatan Penipuan Di Pasar Ikan

Oleh : Sazlansyam

Tawau : Kegiatan ‘menipu’ pelanggan yang dilakukan oleh peniaga di pasar ikan Tawau semakin berleluasa dan menjadi-jadi.

Berdasarkan laporan yang kami terima, kami telah membuat satu tinjauan dan temubual secara rambang dengan para pembeli yang ditemui di pasar tersebut.

Lebih memeranjatkan kami, kebanyakan ulasan yang diterima turut mendedahkan kegiatan Pendatang Tanpa Izin yang berniaga atau bekerja di situ secara haram.

Tinjauan MESTI kali ini cuba untuk membongkar perkara tersebut.

“Ada peniaga ikan menipu pelanggan dari segi timbangan dan kualiti ikan. Ada sesetengahnya, mencampurkan ikan segar dengan ikan yang buruk. Saya kurang puas hati dengan cara penipuan ini.” Ujar Ahmad Fauzan, 25 tahun Peniaga.

“Biasanya saya akan memilih ikan yang saya mahu beli. Ada juga saya dengar tentang perkara ini tetapi saya tidak pernah kena kerana saya akan menegur mereka. Saya harap pihak berkuasa akan segera memantau perkara ini, Selain itu pembeli juga harus bijak agar tidak tertipu.” kata Abdul Latif Oppes, 37 tahun, Guru.

“Saya pernah tertipu semasa membeli ikan di pasar ikan Tawau. Peniaga menyusun ikan segar di atas dan ikan yang kurang segar di bawah. Sudahlah saya memandu pulang kerumah satu jam, apabila sampai di rumah ikan sudah berbau. Bila saya jumpa mereka semula dan menegur perkara ini, mereka tidak mengaku.” Badariah Bago, 31 tahun, Kerani.

“Memang biasa berlaku. Mereka meletak ikan segar di atas dan buruk di bawah. Bila mereka timbang mereka akan menyodok ikan yang buruk bukan yang segar. Selalunya saya hanya menyedari telah ditipu bila pulang ke rumah.” Rohani Abdul Majid, 36 tahun, Guru.

“Saya paling tak puas hati sebab bila kita pilih yang segar tapi bila mereka menimbang ikan tersebut mereka telah menyodok ikan yang buruk. Ada juga peniaga yang menjual udang dan sotong yang dicampur air supaya menjadi lebih berat bila ditimbang.” Rokiah Ismail, 32 Tahun, Guru.

“Harap pihak berkuasa memantau pendatang tanpa izin yang bekerja atau berniaga. Sudahlah masuk secara haram kemudian menipu rakyat tempatan pula. Penipuan ini memang wujud sampaikan ada antara rakan-rakan saya yang lebih senang membeli dengan peniaga Cina yang ternyata lebih jujur.” Martini Binti Maming; 27 Tahun, Kerani.

“Saya cuma nak tegur berkenaan peniaga yang menipu timbangan seperti udang dan sotong yang direndam dalam air supaya berat bila ditimbang. Ikan memang saya pilih sendiri dan kalau mereka cuba menipu saya akan tegur. Lagi satu macam banyak PATI lah yang berniaga.” Syukur, 36 Tahun, Tentera.

Tuesday, April 15, 2008

MPT laksana operasi pembersihan

Oleh : Syah82
TAWAU : Majlis Perbandaran Tawau (MPT) mula melaksanakan kerja-kerja pembersihan timbunan sampah di beberapa kawasan pembuangan sampah di Jalan Damai sini.

Operasi pembersihan itu diadakan berikutan aduan orang ramai berhubung masalah sampah yang tidak dikutip.

Masalah itu turut mendapat perhatian Presiden MPT Salsidu Ibrahim yang turun padang melihat keadaan timbunan sampah berkenaan.

Salsidu kemudian telah mengarahkan pihak kontraktor bertanggungjawab untuk membersihkan kotoran itu selama seminggu.

Timbalan Setiausaha Operasi MPT Khanizman Pakir Mohd mengetuai operasi pembersihan tersebut yang turut disertai oleh anggota MPT sendiri, kontraktor Sharijadi Sdn Bhd dan penduduk kampung.

Operasi pembersihan akan diteruskan di beberapa kawasan pembuangan termasuk di Tanjung Batu, Hill Top, Bandar Fajar dan berhampiran Pasaraya Suka Ramai di sini.

Khanizman turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuang sampah di kawasan yang telah disediakan.

Monday, April 14, 2008

3 kes kebakaran mengakibatkan satu kes korban

Oleh : Bibi Biddin

BELURAN : Dalam tempoh dua minggu sahaja, tiga kes kebakaran berlaku di daerah Beluran yang membabitkan satu kes korban dan terbaru pada malam Sabtu yang melibatkan rumah seorang ibu tunggal di kampung Sungai-Sungai, Jalan Kolapis di sini baru-baru ini.

Kejadian pada jam 10 malam Sabtu telah menyebabkan kediaman seorang ibu tunggal Sarimah Haji Eting musnah.

Pada kejadian itu, ketiga-tiga anak Sarimah yang berusia 10 tahun, 12 tahun dan 14 tahun berada di dalam rumah tersebut.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana mangsa berjaya keluar dari rumah sebaik menyedari api menyala dari bahagian sudut rumah mereka pada kejadian tersebut.

Kejadian kebakaran itu adalah yang ketiga dalam dua minggu ini, selain rumah ibu tunggal itu, dua kejadian lagi berlaku pada 7 April lepas yang mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan satu lagi kes kebakaran berlaku selang beberapa jam dari kejadian ini yang menyebabkan 10 buah gerai di pekan Beluran musnah.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang melawat mangsa di tapak kejadian memberi sokongan moral kepada mangsa kebakaran yang berlaku pada jam 10 malam Sabtu.

Ronald turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada mangsa, Sarimah Haji Eting yang mana kediamannya musnah terbakar dalam kejadian yang menyebabkan keluarga itu tinggal sehelai sepingang.

Ronald yang sebelum ini menyuarakan masalah ketiadaan Bomba dan Penyelamat Daerah Beluran telah memberi satu kesan yang besar kepada rakyat kerana masyarakat Beluran terutama kehilangan harta awam kerana terpaksa bergantung kepada Bomba dari Sandakan yang terletak sejauh 80 kilometer dari pekan ini.

Hampir Setengah Juta Ringgit Berjaya dirampas oleh Polis Marin

Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU: Hampir setengah juta ringgit barang rampasan telah berjaya dibuat oleh pihak Polis Marin di Batu 3 ½ Jalan Utara disini, Ahad lepas.

Dipercayai satu sindiket menyalahgunakan diesel subsidi bertempat di sebuah kawasan gudang yang menjalankan kegiatan haram itu dengan tertangkapnya lima orang lelaki warga tempatan berusia di antara 20-an hingga 30-an.

Dalam pada itu, pihak polis juga merampas tiga kenderaan, masing-masing sebuah Nissan Frontier, Toyota SR dan lori Daihatsu Delta kerana mempunyai tangki ubah-suai yang berisi minyak diesel.

Tapak dan gudang yang menjadi lokasi kegiatan terbabit juga turut disita menjadikan jumlah nilai keseluruhan barang rampasan mencecah jumlah hampir setengah juta ringgit iaitu RM 485,600.

Pegawai Pemerintah Marin Tawau, DSP Husaini Zainal Abidin dalam kenyatannya berkata, sindiket itu dipercayai telah menjalankan kegiatan terbabit sejak awal tahun ini dan gudang berkenaan merupakan lokasi penyimpanan minyak-minyak tersebut.

“Kita percaya sindiket ini menjalankan kegiatan membeli diesel subsidi untuk dijual semula ke ladang atau kilang di daerah ini. Gudang dan tanah yang dianggarkan bernilai RM 250,000 ini pula dijadikan mereka sebagai tempat simpanan minyak,” ujarnya.

Menurut Husini, serbuan itu telah dibuat oleh sepasukan enam anggota Polis Marin yang diketuai ASP Mohamad Ismail pada kira-kira jam 7.18 malam hari yang sama, hasil dari maklumat yang diterima oleh orang awam.

Setiba di gudang itu katanya, pemeriksaan polis menemui 46 tong drum berisi 200 liter minyak diesel setiap satu dan 47 tong drum kosong, selain sebuah pam elektrik, hos, dua unit tangki minyak fibre glass yang telah diubaisuai dan 1 unit tangki minyak besi.

Minyak diesel di dalam 47 tong drum terbabit dianggarkan bernilai RM 14,352.

Pada pemeriksaan lanjut katanya, pihaknya juga turut menjumpai dua kenderaan iaitu sebuah Nissan Frontier dan Toyota SR, yang setiap sebuah daripadanya mempunyai tangki ubah suai berisi lebih kurang 400 liter minyak diesel.

Bagaimanapun, tangki ubah suai pada lori Daihatsu yang ditemui didapati kosong, tetapi di dalam kenderaan itu terdapat sebuah pam minyak dan hos.

Kes itu dan kesemua barang rampasan katanya akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Husaini menasihatkan pengusaha-pengusaha stesen minyak di daerah ini agar tidak sesekali bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin membeli minyak subsidi dengan jumlah yang banyak dan mencurigakan dari stesen minyak mereka.

Perbuatan sedemikian ujarnya boleh menyebabkan pengusaha yang terlibat turut dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam hal yang sama, Husaini melahirkan penghargaannya di atas maklumat yang disalurkan oleh orang awam dan beliau berharap, kerjasama seumpama itu akan terus dapat dipertingkatkan.

Penghormatan terakhir buat mendiang Lau Gek Poh


Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Penghormatan terakhir buat mendiang Tan Sri Panglima Datuk Lau Gek Poh di Yayasan Lau Gek Poh baru-baru ini telah dihadiri kira-kira 300 orang termasuk ahli-ahli perniagaan.

Antara yang hadir memberi penghormatan, Ketua Menteri Sabah Datuk Sri Musa Haji Aman, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail serta beberapa anggota ahli dewan undangan negeri.

Mendiang meninggal pada 4 April lalu di Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan ke Tawau pada 13 April dan disemadikan di tanah perkuburan Teo Chew Batu 5 Jalan Apas jam 3 petang kelmarin.

Mendiang yang digelar dermawan dan raja balak Sabah meninggalkan seorang balu, 3 orang anak, 9 cucu dan 2 cicit.

Saya akan pantau - Presiden MPT


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU: Berikutan laporan MESTI edisi ke-29 baru-baru ini, Tn. Haji Salsidu Haji Ibrahim, Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bersama dengan beberapa pegawainya turun padang untuk meninjau isu longgokan sampah sarap di sekitar bandar ini Sabtu lepas.

Sehubungan itu, beliau ‘terkejut melihat situasi yang berlaku’ sekaligus melahirkan rasa kecewa kerana syarikat yang dilantik dan diberi kontrak tidak melakukan kerja memungut sampah.

Dalam kenyataannya kepada media, beliau berjanji akan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat kontraktor pemungut sampah berkenaan yang menurutnya terbukti gagal melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan berkesan.

“Kita tidak akan biar perkara ini berterusan. Oleh itu bermula Ahad ini, kita akan beri syarikat terbabit tempoh satu minggu untuk membersihkan kesemua pusat-pusat pungutan sampah berkenaan dan kerja-kerja mereka akan kita pantau,” katanya dengan tegas.

“Jika mereka masih gagal, pihak majlis akan mengambil pendekatan lain untuk membersihkannya dan kos tersebut akan kita tolak dari wang bayaran untuk syarikat kontraktor berkenaan,” katanya lagi.

Menurutnya, mereka melaksanakan tanggungjawab sambil lewa walaupun tempoh kontrak syarikat tersebut akan berakhir 31 Ogos depan, merupakan satu tindakan tidak wajar dan boleh mencemarkan imej pihak berkuasa tempatan dan juga imej Perbandaran Tawau khasnya.

Beliau juga memberi amaran kepada syarikat-syarikat kontraktor lain yang telah dilantik oleh MPT agar sentiasa mematuhi perjanjian kontrak yang telah ditandatangani, jika tidak ingin tindakan diambil ke atas mereka.

Tinjaun mengejut itu dilakukan selama tiga jam bermula jam 4.00 petang bersama wartawan, difahamkan hasil dari rungutan orang ramai dan juga pelbagai pihak yang disuarakan melalui media massa baru-baru ini.

“Kita berterima kasih kepada pihak media kerana memainkan peranan menyuarakan kehendak masyarakat. Bagaimanapun, kita harap pihak media tidak pula membuat laporan yang boleh menimbulkan kebimbangan atau salah faham masyarakat,” katanya.

Salsidu juga menegaskan, pihaknya akan menguatkuaskan undang-undang dengan lebih tegas bagi memastikan bandar Tawau sentiasa bersih dan indah.

Sementara itu, kompoun atau denda di mahkamah akan dikenakan kepada mereka yang didapati membuang sampah merata-rata, tambahnya.

Selain itu, menyentuh mengenai pusat perjudian haram pula, beliau berkesempatan melawat ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau dan melahirkan rasa puas hati melihat usaha yang dilakukan pihak polis untuk mencegah jenayah.

Ini kerana begitu banyak rampasan telah dibuat pihak berkuasa terbabit, sebagai usaha mencegah aktiviti itu dari terus berleluasa.

“Kita minta jika masyarakat awam tahu di mana lagi ada lokasi perjudian haram, laporkan kepada pihak polis atau pihak kita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebarang aduan yang ingin dibuat kepada pihaknya katanya, boleh disalurkan dengan cara datang sendiri ke pejabat MPT atau dengan menghubungi talian 089-701666.

Selain sampah sarap dan mesin slot, Salsidu dan rombongannya turut berkesempatan meninjau tandas awam, gerai-gerai makanan serta keadaan longkang dan parit di sekitar Sabindo.

Antara yang turut serta di dalam tinjauan kerja itu ialah Timbalan Presiden MPT Ismail Mayakob dan Timbalan Setiusaha (Operasi) MPT Khanizman Pakir dan beberapa Ahli Majlis MPT.

Friday, April 11, 2008

Agenda pembangunan belia, keutamaan Pang



Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Agenda pembangunan belia merupakan satu perancangan utama yang akan dibangunkan di kawasan Dun Merotai dalam masa terdekat ini

Wakil Rakyat Merotai, Pang Yuk Ming berkata, agenda itu akan dilaksanakan berikutan ada dikalangan para belia yang masih belum maju dan masih menganggur.

Taman Cabaran, merupakan satu perancangan yang akan dibina di kawasan Taman Semarak untuk belia dan masyarakat setempat agar mereka dapat melakukan aktiviti yang berfaedah disamping membuat aktiviti yang mencabar.

Antara aktiviti di Taman Cabaran kelak ialah climbing (panjat gunung), berbasikal, paintball dan bermacam lagi.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan mengenai perancangan ini serta tempat bagi Taman Cabaran ini”, katanya.

Dalam pada itu, beliau akan membina sebuah pondok keselamatan yang mana akan menempatkan pasukan keselamatan dan pihak polis bagi mengawal di kawasan itu dan sekaligus mencegah aktiviti tidak bermoral oleh golongan belia.

“Saya sudah berbincang dengan OCPD Tawau mengenai tempat dan operasi keselamatan dan mereka bersetuju. Dengan itu, saya bercadang untuk melaksanakannya secepat mungkin”, katanya lagi.

Beliau menegaskan, anak-anak perlu diawasi ketika berada di luar rumah dengan mengambil tahu segala aktiviti agar tidak terjerumus ke dalam kanca sosial dan tindakan akan diambil jika mereka didapati bersalah oleh pihak berkuasa.

Menyentuh mengenai permasalahan air, beliau akan mengajukan masalah ini kepada Jabatan Air bagi menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk.

Dalam ucapan itu, penduduk juga diberi peluang untuk mengajukan permasalahan yang dihadapi kepada Wakil Rakyat dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).

Beliau berucap ketika menghadiri Majlis Gotong Royong dan Dialog Bersama Penghuni Flat Kondominium Taman Semarak Tawau kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengurus Besar dan Pengurusan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), En. Jenar Lamdah, Jabatan Bomba, Majlis Perbandaran Tawau (M.P.T) dan kira-kira 300 penduduk.

Sindiket Rokok Terbesar Tumpas!



Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU: Rampasan rokok seludup yang merupakan rampasan dengan nilai terbesar di Sabah telah berjaya dilakukan oleh Polis Marin.
Bertindak hasil dari maklumat orang awam, Polis Marin telah melakukan dua serbuan ke atas sebuah kereta dan sebuah rumah di Taman Da Hua 3 dan berjaya merampas 61,800 bungkus rokok yang bernilai RM162,000 dipercayai diseludup dari negara jiran untuk dipasarkan di sekitar negeri ini.
Turut dirampas di dalam serbuan berkenaan ialah 20 batang besi pengikat bungkusan dan sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok seludup.
Rokok-rokok berkenaan dipercayai akan dibungkus semula untuk menggantikan setem yang terdapat pada kotak rokok berkenaan kepada setem yang lain, sebelum dipasarkan.
Menurut Pegawai Pemerintah Marin Tawau, DSP Husaini Zainal Abidin, pada hari tersebut kira-kira jam 8.30 malam, sepasukan empat anggota Marin yang diketuai oleh Cif Inspektor Safri Anuar Jamin telah pergi ke Taman Da Hua 3, Jalan Bunga Raya di sini.
Sebaik tiba di taman tersebut katanya, kelihatan sebuah kereta Proton Iswara memasuki perkarangan sebuah rumah di taman itu dan apabila dihampiri, pemandu kereta tersebut telah bertindak melarikan diri dan tidak dapat dikesan.
Katanya lagi, Pihak Marin telah memeriksa kereta terbabit dan menemui 12,000 bungkus rokok Surya Gudang Garam bernilai RM 30,000, yang dibungkus dengan plastik hitam dari bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.
Sehubungan dengan itu kata Husaini, pasukannya telah melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan yang tidak berpenghuni dan menemui 44,800 bungkus rokok Surya Gudang Garam, 4,500 bungkus rokok Tex Light dan 500 bungkus rokok Tex Flavour yang kesemuanya bernilai RM 122,000.
Penghuni rumah tersebut dipercayai telah melarikan diri kerana pintu dapur rumah didapati terbuka.
“Kita percaya ini adalah rampasan rokok seludup terbesar yang dilakukan Polis Marin dalam tempoh tiga tahun ini. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 22 Akta Polis dan kesemua barang rampasan akan diserahkan pada Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau,” katanya.
Dalam hal yang berkaitan, pihaknya kini sedang mengenalpasti pemilik rumah terbabit dan berharap agar orang ramai yang tinggal di kawasan tersebut dapat menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi memudahkan membanteras penyeludupan yang masih berleluasa di daerah ini.

Saturday, April 5, 2008

Ibu bapa perlu peka soal pendidikan anak-anak


Oleh: Muahlim Lise
TAWAU : Ibu-bapa harus memainkan peranan dan peka terhadap anak-anak baik dari soal pendidikan, disiplin mahupun soal perilaku mereka samada dalam atau luar sekolah.
Wakil Rakyat Sebatik, Abdul Muis Picho berkata dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Sebatik, Zakaria Sulaiman pada Majlis Hari Anugerah Pelajar Cemerlang di S.K. Bandar kelmarin.
Tambahnya lagi, guru-guru tidak harus dipersalahkan jika anak-anak mereka dikenakan tindakan atas dasar satu kesalahan, sebaliknya pendekatan dengan cara berbincang harus digunakan bagi menyelesaikan masalah.
Dalam hal berkaitan, acara penganugerahan pelajar cemerlang sememangnya menjadi acara tahunan dan dengan majlis sedemikian anak-anak yang berjaya dalam pelajaran dapat diberikan penghargaan dari sekolah.
Pengiktirafan sebegini membuatkan para pelajar akan bersemangat untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang dan dalam pada itu juga, pelajar yang tidak menerima anugerah akan terpanggil untuk berusaha dalam mencapai kejayaan.
Sehubungan itu, kejayaan penganjuran majlis ini pastinya menjadi titik tolak kepada pembentukan modal insan untuk masa depan negara dan ibubapa hendaklah sentiasa menyokong dalam penganjuran majlis sebegini.
Beliau juga berpesan, guru-guru hendaklah memikul tanggungjawab sebagai seorang pendidik terhadap murid dengan penuh rasa keyakinan dan keikhlasan.
Ini kerana kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit setiap tahun bagi membentuk anak-anak agar menjadi sumber manusia yang berkualiti untuk negara.
Disamping itu juga, harapan ibubapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah turut disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Muis berpesan agar ibubapa memainkan peranan yang berkesan serta mengambil tahu perkembangan khasnya di bangku sekolah lagi bagi memastikan sumber pelajaran anak-anak sentiasa dipantau perjalanannya.

Boikot barangan Belanda

Oleh : Nohran Ibnuh

SANDAKAN : Orang ramai di daerah ini, khususnya para pengguna diingatkan agar tetap memboikot dan tidak membeli sebarang produk yang dihasilkan oleh negara Belanda sebagai tanda protes terhadap perbuatan menghina Islam yang dilakukan oleh warga negara itu.

Pengerusi Persatuan Pengguna Sandakan (Sabah dan Wilayah Persekutuan) En. Ali Amat dalam kenyataannya kepada pemberita memberitahu perbuatan menghina Islam yang dilakukan oleh produser filem Greet Wilders melalui filem pendek ‘Fitna’ selama 17 minit itu merupakan satu perlakuan melampau.

Katanya lagi, isu itu tidak harus dipandang ringan, kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat Ilam di seluruh dunia.

Sambil menambah, selain pengguna, pengusaha dan pengendali pasaraya juga harus melabelkan setiap produk yang diimport dari negara itu dengan penanda yang lebih jelas dan mudah untuk dilihat, bagi memudahkan pengguna mengenal produk hasil negara tersebut.

Antara produk yang telah dihasilkan oleh negara tersebut ialah Phillips dan beberapa produk makanan yang berlabel Dutch Lady.

Katanya lagi pegusaha di daerah ini seharusnya mencontohi sikap sebilangan pengusaha pasaraya di semenanjung yang menyokong penuh usaha memboikot produk yang telah dihasilkan oleh negara tersebut .

Industri kelapa sawit menguntungkan, kata Musa


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Dianggarkan melebihi 80 peratus tenaga kerja asing terlibat dalam industri kelapa sawit di negeri ini dan usaha untuk menarik minat penduduk tempatan haruslah lebih proaktif.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, kerajaan memandang serius tentang perkara tersebut dan menyeru agar para pengeluar dan pengusaha berkenaan mengambil langkah-langkah lebih bijak bagi mengelak persepsi negatif segelintir masyarakat dengan menekankan bahawa perladangan kelapa sawit adalah sektor yang berdaya maju dan menguntungkan.

Disamping itu, para pengeluar dan pengusaha juga perlu mengaplikasi teknologi terkini termasuk bioteknologi, mempergiatkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan hasil tuaian.

Tambahnya, hasil pengeluaran minyak kelapa sawit telah mencapai purata pengeluaran 4.9 tan minyak sehektar pada tahun 2007 dan telah memberi pulangan yang berlipatganda untuk negeri Sabah.

“Lebih kurang 4.13 juta hektar jumlah keluasan tanaman komoditi ini di seluruh negara, 30 peratus daripada keluasannya disumbangkan oleh negeri Sabah sekaligus meletakkan negeri Sabah pengeluar kelapa sawit terbesar di Malaysia ketika ini”, katanya lagi.

Dengan terbinanya Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu, membuktikan komitmen tinggi kerajaan dan sektor swasta membuat transfornasi bagi menjadikan industri kelapa sawit lebih dinamik dan menjana perkembangan sektor ini sebagai jentera pertumbuhan ekonomi yang penting.

Dalam hal ini, usaha dan langkah bagi meningkatkan daya saing sektor ini hendaklah dilaksanakan pada keseluruhan rantaian nilai atau industri yang meliputi peringkat aktiviti huluan dan juga hiliran, termasuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, mengurangkan kos pengeluaran, menghasilkan produk baru berasaskan komoditi yang inovatif dan berorientasikan pasaran.

Justeru itu, inisiatif Sabah Softwoods Berhad (SSB) menarik minat penduduk tempatan untuk bekerja di ladang-ladang kelapa sawit dan perkayuan melalui usaha sama dengan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) disambut baik.

Manakala pembinaan perumahan untuk pekerja yang selesa dengan dilengkapi keperluan asas seperti air dan elektrik serta persekitaran yang kondusif akan memotivasikan pekerja menjadi lebih gigih dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti syarikat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Hj. Aman berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah bagi Kilang Kelapa Sawit Kapilit, SSB kelmarin.

Majlis yang penuh meriah dengan dihadiri lebih kurang 3000 orang telah meperlihatkan masyarakat tempatan berminat untuk bekerja serta menjadi sebahagian komoditi SSB.
Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah SSB, Datuk Wilfred M.Bumburing, Ahli-ahli Lembaga Pengarah SSB, Menteri-menteri Sabah, ADUN bahagian Kalabakan dan Tawau, Pembantu-pembantu Menteri dan para pekerja SSB dan masyarakat setempat.

Wednesday, April 2, 2008

Cabul Pelajar- Tertuduh ditahan

Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Dua Pelajar dari salah Sekolah Menengah di Daerah Tawau telah dicabul kehormatan oleh Pengawal Keselamatan sekolah tersebut.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, SUPT. Hj. Ramli Ali Mat, kejadian berlaku pada 24 Januari dan 12 Februari lalu sekitar jam 12.00 tengahari hingga 2.00 petang di sebuah kebun kelapa sawit yang berdekatan.

Katanya lagi, tertuduh telah membawa mangsa terbabit secara paksaan menggunakan motosikal.

Setibanya di tempat kejadian, tertuduh telah meraba dan menunjukkan alat sulitnya.

Berikutan kejadian itu, pada 1 April lalu, guru sekolah menengah tersebut bersama dengan mangsa terbabit telah membuat laporan di balai polis Bombalai.

Pihak polis telah menahan tertuduh pada hari yang sama sekitar jam 1.00 pagi atas tuduhan mencabul kehormatan mengikut Seksyen 354, penjara 10 tahun atau sebatan atau denda atau kesemua sekali jika disabit kesalahan.

Tuesday, April 1, 2008

PIBG SMK Jambatan Putih Tawau Anjur Ceramah Motivasi


Oleh: Hasnah Kassim


TAWAU : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK. Jambatan Putih Tawau telah menganjurkan program Ceramah Motivasi ‘Menuju ke Menara Gading’ pada 29 Mac lalu.

Ceramah yang dihadiri oleh seramai 225 orang pelajar Tingkatan 3, Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 disampaikan oleh Prof. Dr. Hj. Sanudin Hj. Tahir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Yang Dipertua PIBG, Hj. Ansing Sattuo dalam ucapan alu-aluannya melahirkan harapan, “Saya berharap melalui program seumpama ini para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan awam akan mendapat suntikan semangat dan memantapkan diri ke arah mencapai kecemerlangan”.

Ceramah selama lebih kurang 2 jam dan diikuti sesi soal jawab itu mengupas tentang peranan pelajar dan jati diri pelajar cemerlang di samping memperkenalkan UMS sebagai salah sebuah universiti awam yang bertaraf dunia.

Menurut Prof. Dr. Hj. Sanudin, UMS mempunyai kampus tetap yang terletak di Teluk Sepanggar Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Pertanian di Sandakan yang sedang dalam pembinaan.

UMS mempunyai 13 buah fakulti yang dikenali sebagai sekolah dan sebuah pusat pengajian liberal yang dinamakan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa.

Selain itu, UMS turut memiliki 5 buah pusat kecemerlangan penyelidikan iaitu Institut Penyelidikan Biologi Tropika dan Pemuliharaan, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Institut Penyelidikan Bioteknologi, Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial, dan Unit Penyelidikan Etnografi.
“Saya berasa cukup bertuah dapat menghadiri ceramah motivasi ini kerana banyak tips yang saya perolehi tentang potensi diri dan mengenali UMS dengan lebih dekat lagi,” ujar Mardhiawaty Malik, pelajar Tingkatan 6 Atas.
Para pelajar yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersemangat untuk berusaha lebih keras mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal mereka duduki bagi melayakkan mereka menempah nama di menara gading.

Seorang kanak-kanak lelaki rentung

Oleh : Bibi Biddin

BELURAN: Seorang kanak-kanak lelaki rentung manakala tiga lagi mengalami cedera termasuk bapa mangsa dalam satu kejadian kebakaran di kampung Iran, Jalan Kolapis kira-kira 3 kilometer dari pekan di sini pada malam Ahad.

Ketua Polis Daerah, DSP Fadzil Mohd Ali berkata mangsa berusia 11 tahun yang dikenali sebagai El Frince Lee itu ditemui rentung di rumah pada kejadian lebih kurang 9.05 malam di kediaman mereka yang sebahagian konkrit dan kayu.

Sementara dua lagi ahli keluarga mangsa yang cedera parah adalah bapa kepada simati dikenali sebagai Lee Pui Yong, 43 yang juga seorang Pastor Gereja di kampung itu bersama seorang anak sulungnya, El-Jirah Lee, 12 tahun.

Bapa dan abang simati yang telah melecur 70 peratus bahagian badan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Duchess Kent Sandakan (HDOK), katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah itu, keluarga itu terdiri daripada bapa dan isterinya bersama empat orang anak termasuk seorang perempuan berusia antara 2 setengah hingga 12 tahun yang tinggal di kediaman mereka di kampung tersebut.

Katanya seorang lagi anak mangsa berusia 7 tahun, hanya dirawat sebagai pesakit luar manakala ibu dan adik perempuan mangsa tidak mengalami kecederaan.

Dalam perkembangan sama, sepuluh deretan gerai jualan di pekan Beluran terbakar pada kejadian sama lebih kurang pukul 10 malam Ahad.

Bagaimanapun katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kes kebakaran di gerai tersebut yang mana kejadian kebakaran itu berjaya dipadamkan oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan yang tiba sebaik kejadian kebakaran awal di Kampung Iran itu yang diketuai oleh Mohd Razali Awang Ahmad.

Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee yang menziarahi keluarga mangsa di tempat kejadian melahirkan rasa kecewa terhadap kelewatan pembinaan balai Bomba di Beluran.

Beliau menyarankan agar pembinaan Balai Bomba dipercepatkan berikutan ia sudah terkandung dalam projek perlaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Dengan kejadian ini, maka dorongan untuk mempercepatkan perlaksanaan pembinaan balai Bomba dapat dipercepatkan demi kebaikan rakyat dan harta benda di daerah Beluran yang hanya mendapatkan khidmat bomba dari Sandakan yang memerlukan masa perjalanan dalam tempoh sejam lebih.

Monday, March 31, 2008

Konvokesyen kali ke-8 SM Teknik


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Sokongan yang kuat dari ibubapa dan guru-guru bagi memastikan pelajaran anak-anak di sekolah berjaya dan cemerlang dalam peperiksaan adalah sesuatu yang amat dibanggakan dengan tercapainya kejayaan pada hari ini.

Sek. Men. Teknik merupakan sekolah yang mendidik graduan-graduan yang akan melahirkan jurutera-jurutera tempatan dan juga pakar-pakar perindustrian supaya matlamat Negara Maju pada 2020 akan tercapai.

“Sektor industri pada masa kini memerlukan jurutera-jurutera tempatan dalam membangunkan ekonomi perusahaan dan perindustrian bagi menjamin negara kita mempunyai tenaga mahir tempatan yang mencukupi,” kata Ahli Parlimen Tawau P.190, Datuk Chua Soon Bui semasa menghadiri Majlis Perasmian Konvokesyen Sek. Men. Teknik Tawau Sesi 2006/2007 kali ke-8 baru-baru ini.

Tambahnya, pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mencecah di bawah 90 peratus kelulusan, membuktikan bahawa graduan-graduan masa kini lebih mementingkan pendidikan dan telah mendorong mereka ke arah mencapai kemajuan diri dan juga masa depan.

Di majlis tersebut, Chua sempat menyampaikan Sijil dan Anugerah kepada graduan yang terbaik mengikut Kursus, Aliran, Anugerah Emas dan Anugerah Pelajar Terbaik bagi Sesi 2006/2007.

Turut hadir di majlis tersebut Pengetua Sek. Men. Teknik Tawau, Puan Fitriani Wahid, Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Sek. Men. Teknik, Mohd Rashid Saad, Pengetua-pengetua Sekolah Menengah di Tawau, Guru-guru dan ibubapa pelajar.

Sambutan yang mengalakan dengan kehadiran lebih kurang 500 ibubapa, pelajar dan guru-guru ini telah memenuhi Dewan Tun Ahmad Shah semasa majlis tersebut diadakan.

Mahasiswi UMS terkorban



Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU : Seorang mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) terbunuh setelah kenderaan Proton Iswara yang dipandunya bertembung dengan lori 10 tan di Kilometer 8, Jalan Kuhara di sini kelmarin.
Difahamkan, mangsa merupakan pelajar Semester 5, Tahun 3, Kursus Ijazah Sains Sukan di UMS dan sedang menjalankan praktikal di daerah ini.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 11.00 pagi melibatkan mangsa yang dikenali sebagai Syahriza Bte Senawing, 24 dan berasal dari Kg. Jambatan Putih Tawau.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, DSP Mohd. Zaidi Abdullah berkata, pemandu lori tersebut yang berusia 38 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, tetapi ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau sebelum dituntut oleh ahli keluarganya.
Sementara itu, mantan Wakil Rakyat Merotai, Brig. Jen Datuk Liew Yun Fah yang berada di lokasi kemalangan, meminta para pemandu kenderaan berat supaya sentiasa berhati-hati dan tidak sesekali memandu laju. “Mereka hendaklah mematuhi peraturan jalanraya bagi mengelakkan berlakunya sebarang insiden yang tidak diingini,” tambah beliau lagi.

Jangan ceroboh negara jiran!


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : “Jangan sesekali cuba menceroboh masuk ke negara jiran tanpa menggunakan dokumen yang sah, terutama kepada rakyat negara ini khasnya yang tinggal di kawasan persempadanan negara Pulau Sebatik Malaysia-Indonesia”.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Yusof Abu Bakar berkata demikian kerana perbuatan tersebut boleh menimbulkan masalah hubungan antarabangsa kedua-dua negara terlibat, terutamanya jika mereka ditangkap pihak berkuasa negara jiran.

“Dulu pernah terjadi beberapa kes rakyat Malaysia dari negeri ini ditangkap kerana tiada dokumen di negara Indonesia. Kita harap perkara tersebut menjadi iktibar. Kita tidak mahu perkara sebegitu berlaku lagi kerana ia boleh menjejaskan imej negara”, katanya.

Beliau menasihatkan kepada individu agar terlebih dahulu mendapatkan dokumen perjalanan yang sah seperti pasport atau pas lintas batas dari pihak berkuasa sekiranya ingin pergi ke kawasan negara jiran.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa mengadakan tinjauan ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia di Pulau Sebatik di sini kelmarin.

Turut serta ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Sebatik, Haji Abdul Muis Haji Picho, Pengarah Imigresen Sabah, Dato’ Baharon Talib, Pengarah Bahagian Kawalan Imigresen, Badarudin Chek dan Pengarah Bahagian Sistem Maklumat dan Rekod, Jamaludin Said.

Yusof berkata, pihaknya kini sedang dalam proses mengkaji keperluan membina sebuah Pos Kawalan Imigresen di pulau Sebatik.

Kajian tersebut katanya masih di peringkat awal, ini kerana hasil cadangan Majlis Keselamatan Negara dan hasil permintaan Kementerian Pertahanan Indonesia, semasa Mesyuarat Bilateral Jawatankuasa Sempadan yang diadakan pada Januari 2008 lalu.

“Kini kita masih lagi mengkaji perkara ini. Bagaimanapun, kita percaya Pos Kawalan ini penting untuk diwujudkan kerana kita juga tidak mahu rakyat negara jiran bebas untuk masuk begitu sahaja ke kawasan kita”, tambahnya lagi.

Sementara itu, Muis ketika ditemubual pula melahirkan keyakinannya yang lawatan itu akan memberi manfaat dan faedah yang besar kepada masyarakat, khasnya yang tinggal di pulau tersebut.

Mengenai pos kawalan, beliau yakin cadangan itu akan dapat mengawal kemasukan rakyat asing khasnya ke kawasan pulau terbabit, jika ianya direalisasikan.

Beliau juga menggesa, masyarakat di Pulau Sebatik supaya sentiasa mematuhi segala nasihat pihak Imigresen, serta dalam masa yang sama melaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan jika mengetahui sebarang pencerobohan rakyat negara jiran ke negara ini.

Selepas meninjau kawasan perairan sempadan negara Malaysia-Indonesia, kesemua yang terlibat berkesempatan berkunjung bertemu masyarakat di Kg. Wallace Bay, Pulau Sebatik.

Hadir sama ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Sebatik, Jakaria Sulaiman.

“Saya akan sediakan bot,” kata Pang


Oleh : Muahlim Lise
TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai, Pang Yuk Ming berkata beliau akan menyediakan sebuah bot di Kg. Langsat dan Kg. Kijang sebagai persiapan kecemasan sekiranya berlaku banjir di kawasan berkenaan.
Bot tersebut akan dilengkapkan dengan sebuah enjin 15 kuasa kuda dan ditempatkan di Balai Polis Merotai Besar yang diharap mampu membantu penduduk kampung berkenaan yang sering berhadapan dengan bencana banjir.
Menurut Pang, masalah banjir kerap terjadi apabila berlakunya hujan lebat di Ulu Sungai Merotai, dan pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah ini di bawah Pelan Mitigasi Banjir, yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
Tambahnya lagi, baru-baru ini 15 buah rumah di kawasan berkenaan telah dinaiki banjir setinggi lima kaki, justeru pemberian bot ini diharap mampu meringankan beban penduduk kampung sekiranya masalah yang sama berulang.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan penduduk kampung agar sentiasa berwaspada dan meminta mereka menjaga anak-anak supaya tidak keluar bermain ketika berlakunya banjir untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Saya akan berusaha sebaik mungkin dalam menyelesaikan masalah banjir yang berlaku, kerana sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pemimpin untuk membantu masyarakat di kawasan berkenaan,” jelas beliau.

Saturday, March 29, 2008

Sayap Ayam LELEK, Warisan Keluarga






Oleh: Muahlim Lise

“Sayap ayam, sayap ayam, pedal, hati, buntut”. Begitulah laungan seorang peniaga muda Melayu yang berketurunan Jawa, Iwan Supamri 27 tahun yang mewarisi perniagaan Allahyarham bapanya sejak bertahun lamanya. Kini dia menyambung populariti bapanya sebagai peniaga sayap ayam bakar yang boleh dikatakan paling mendapat perhatian oleh sesetengah pelanggan di sekitar Tawau.

Penglibatannya sebagai peniaga sayap ayam bakar sejak dia berusia lapan tahun lagi. Pada masa itu dia hanya membantu bapanya dalam menyiapkan jualan dan turut membantu untuk menjual sayap ayam di gerai makan Kong-Fah.

Tetapi kini semenjak bapanya pergi, dia meneruskan usaha tersebut dan mempunyai gerai sayap ayam bakar sendiri.

Seharian dia boleh menjual lebih kurang 200 ketul sayap ayam tidak temasuk hempedal, hati dan buntut. Pendapatan hariannya kira-kira RM500 ringgit semalam.

“Kadang-kadang sayap yang dijual tidak cukup berikutan permintaan yang banyak dari pelanggan yang sedia ada”, katanya.

Iwan yang dibantu oleh seorang pembantu bernama Sumak merasakan mereka perlu untuk memberikan layanan dan khidmat yang terbaik kepada pelanggan.

“Kadang kala ada orang yang buat tempahan lebih dari 300 ketul. Berikutan itu saya harus menyediakan sayap ayam yang lebih setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan”.

Pengalaman manis yang dia alami sepanjang penglibatan sebagai peniaga sayap ayam ialah, kebanyakan pelancong luar yang lalu pasti akan singgah untuk membeli sayap ayam bakar.

Sehingga kini, pelanggan yang sedia ada cukup berpuas hati dengan keenakan sayap ayam yang disediakan.
Peniaga di Tawau menjual sayap ayam dengan harga RM1.20 seketul manakala buntut, hati dan pedal juga dijual dengan harga yang sama bagi setiap cucuk. Bagi Iwan, makanan yang dijualnya mudah didapati iaitu di pasar malam terutamanya di Medan Anjung Selera dan Gerai makan Kong-Fah. Kedua-dua tempat tersebut beroperasi dari jam 4 petang hingga jam 12 malam.

Respon masyarakat tentang rancangan kerajaan kurangkan beban rakyat

Oleh: A M Fadzlee Sjamsulbari

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi baru-baru ini menghuraikan perancangan Kerajaan bagi melegakan keresahan rakyat berhubung kenaikan kos sara hidup yang menjadi isu dalam Pilihan Raya umum ke-12 ketika berucap pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008.

Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi mengetengahkan tiga langkah yang diambil kerajaan bertujuan meringankan beban rakyat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah.

Antara langkah yang diambil adalah kerajaan tidak akan menaikan harga minyak dan gas.

Pengumuman Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi ini sekaligus menghapuskan spekulasi-spekulasi masyarakat mengenai tindakan Kerajaan menaikan harga minyak dan gas di pasaran.

Wartawan MESTI sempat menemubual masyarakat di sekitar Tawau bagi mendapatkan pandangan-pandangan mereka terhadap perkara ini.

“Tindakan kerajaan tidak menaikkan harga minyak dan gas memberikan kelegaan kepada saya khasnya dan masyarakat amnya, kerana kos untuk membeli minyak dan gas boleh dijimatkan dan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan asas yang lain”, kata Puan Musdah.

“Saya sebagai masyarakat Malaysia berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak menaikkan harga minyak dan gas. Ini kerana sekiranya harga minyak dan gas yang sedia ada dinaikkan, sedikit sebanyak agak membebankan saya yang berpendapatan rendah ini”, jelas Puan Faridah.

“Harga minyak dan gas yang ditetapkan ini mungkin tidak berapa pasti lagi kerana kerajaan terpaksa mengikut harga pasaran minyak dunia yang tidak berapa menentu. Namun saya berharap kerajaan dapat bertahan selama yang termampu agar rakyat tidak terbeban dengan masalah kenaikan harga minyak ini kelak”, kata Puan Shah.

Kegiatan ‘Curi Karan’ Berleluasa

Oleh : Bibi Biddin

SANDAKAN : Orang ramai yang bimbang meminta pihak berkuasa agar melakukan pemantauan lebih kerap di kawasan Perindustrian Sedco Bt. 3 berhubung kegiatan 'curi karan' yang sering berlaku di situ.

Kegiatan mencuri bekalan elektrik secara terus daripada kabel utama di tiang eletrik dengan cara penyambungan wayar sering berlaku di kawasan itu walaupun pihak SESB telah berulang kali melakukan pembaikan dan memotong wayar tersebut.

Tinjauan MESTI ke kawasan tersebut menyaksikan sambungan bekalan elektrik secara curi melalui pendawaian yang disambung terus ke lampu jalan itu merupakan satu tindakan nekad yang sangat berbahaya, selain terdapat wayar dan dawai yang terdedah dan mampu mengalirkan elektrik sekiranya hari hujan.

Menurut seorang saksi yang berkerja di kawasan itu, Chang 42, kegiatan mencuri bekalan elektrik kebanyakannya dilakukan oleh warga asing yang membina perumahan setinggan di kawasan yang berhampiran.

Katanya, kebimbangan sering terjadi sekiranya hari hujan berikutan pendawaian yang tidak sempurna itu boleh mengalirkan elektrik ke kawasan berlopak yang boleh mengakibatkan berlakunya renjatan kepada orang awam yang melalui kawasan itu.

Tambahnya lagi kegiatan mencuri bekalan elektrik itu juga mengakibatkan kekurangan tenaga bekalan berikutan sambungan pendawaian yang terlalu banyak yang menyebabkan kapasiti elektrik tidak dapat disalurkan secara sempurna.

Pengurus SESB Daerah Sandakan, Puan Madeline Chu ketika dihubungi berkata, walaupun mereka telah melakukan kerja pemantauan dan pembaikan berulang kali tetapi kegiatan mencuri bekalan elektrik itu masih berterusan berikutan keperluan perumahan setinggan yang terdapat di situ.

Menurut Chu, mereka dimaklumkan, Pihak Berkuasa Tempatan setakat ini telah melakukan tindakan menandakan kawasan perumahan yang terlibat untuk dirobohkan sebagai tindakan menghalang kegiatan 'curi karan' itu daripada berleluasa.

Bagaimanapun beliau menyarankan pihak yang berwajib agar memberi peluang kepada penduduk yang terlibat untuk membuat penyambungan elektrik secara sah kerana ianya merupakan salah satu usaha membendung kegiatan tersebut.

Ghapur letak jawatan? Apa pandangan masyarakat Tawau?

Oleh: Muahlim Lise

TAWAU: Baru beberapa hari Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Hj. Salleh memegang jawatan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, namun disebaliknya beliau melepaskan jawatan tersebut dengan alasan tertentu.

Seperti yang kita ketahui, perletakan jawatan itu telah pun diketahui samada dari mulut ke mulut, media masa seperti media cetak mahupun media elektronik.

Dalam pada itu, wartawan MESTI sempat menemubual beberapa masyarakat sekitar Tawau dan meminta komen mereka mengenai perletakan jawatan tersebut.

“Pada pandangan saya, jika alasan yang Datuk berikan adalah untuk kepentingan masyarakat, kita harus terima dan terus menyokong beliau”, Haslan 37.

“Kita terima keputusan beliau untuk meletakkan jawatan tersebut, memandangkan komen dan alasan yang diberikan adalah atas kebaikan beliau sendiri mahupun masyarakat”, Asnadi 23.

“Sememangnya kita kena terima apa jua keputusan dari mereka yang meletak jawatan atas sebab-sebab tertentu. Namun seperti yang Datuk Ghapur lakukan adalah atas kebaikan semua, walaupun pada pandangan sesetengah orang tidak baik, tapi bagi saya, saya menerima tindakan beliau dengan hati terbuka”, Sony 27, pelajar.

“Pertama sekali saya kurang bersetuju dengan perletakan jawatan tersebut, tapi apabila saya mendengar komen beliau dan sebab-sebabnya, akhirnya saya akur dan bersetuju dengan keputusan itu”, Noreen 35,peniaga.

“Saya rasa cukup baik bagi kita menerima segala tindakan positif Wakil Rakyat Kalabakan untuk tidak menjawat apa juga jawatan dalam kabinet kerajaan Malaysia atas alasan untuk kebaikan masyarakat”, Fadzlee 20, penulis sambilan.

Sementara itu, kami juga menerima komen tidak setuju atas perletakan jawatan tersebut.

“Saya kurang bersetuju Datuk meletak jawatan, kerana beliau cukup berwibawa dalam apa juga tugas yang diberikan, tapi sebaliknya terpaksa akur dengan tindakan beliau”, Kassim 40, pekerja swasta.

“Saya rasa cukup bangga sekali ada warga Tawau yang menjadi Menteri, tapi kenapa pula Datuk meletak jawatan? Saya kurang setuju, tapi terpaksa akur dengan apa yang beliau kehendaki”, Samad 33, guru.

Bagaimanapun pandangan yang kami perolehi kebanyakannya bersetuju dengan tindakan Datuk Ghapur.

Wednesday, March 26, 2008

Ghapur Letak Jawatan Timbalan Menteri


Kota Kinabalu: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ghapur Salleh telah menghantar surat perletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri hanya selepas 8 hari dilantik.
Beliau menghantar surat perletakan jawatannya kelmarin kepada Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Hj Ahmad Badawi.
Walaupun begitu, beliau akan meneruskan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Kalabakan dan Ahli Parlimen Kalabakan.
Beliau menafikan bahawa beliau akan keluar parti atau menyertai parti-parti lain dan meminta supaya masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi keatas keputusannya.
“Saya tidak berminat dengan jawatan kerajaan dan hanya ingin melakukan kerja saya sendiri” ujar beliau.
Ditanya kenapa beliau hanya meletakkan jawatan sekarang, Ghapur menyatakan “ saya tidak mahu terikat dengan tugas-tugas kerajaan”.
“Saya menyerahkan perkara ini kepada Perdana Menteri” ujar Ghapur yang pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan meletakkan jawatan pada 1997 tetapi kembali ke kabinet negeri beberapa tahun kemudian.
Ghapur, 64 adalah Ahli Parlimen kedua selepas Datuk Anifah Aman yang juga meletakkan jawatan dalam barisan kabinet yang disenaraikan oleh Perdana Menteri pada 18 Mac baru-Baru ini.


Sumber: Star Online

Rosnani: Pembekal Beras Bumiputera


Oleh: A M Fadzlee Sjamsulbari

Berbekalkan semangat “pantang menyerah sebelum kalah”, Rosnani Ahmad memulakan perniagaan kedai runcit beliau secara kecil-kecilan dengan dibantu seramai 2 orang pekerja.

Awal tahun 2000 merupakan permulaan usaha beliau dalam meluaskan empayar perniagaan beliau.

Dengan hanya bermodalkan RM5,000, Rosnaini membeli barang-barang runcit untuk dimuatkan ke dalam kedai beliau.

Sedikit demi sedikit beliau menambah modal beliau bagi membesarkan lagi perniagaan yang saban hari semakin menunjukkan potensi yang memberangsangkan.

Akhirnya, Rosnaini berjaya menukar kedai runcit beliau kepada sebuah syarikat yang diberi nama Syarikat Seri Mawar. Beliau bukan saja membekalkan barang-barang runcit tetapi juga menjadi pemborong beras di sekitar Daerah Tawau termasuk Semporna dan Kunak.

Beliau juga mengorak langkah yang lebih besar lagi dalam perniagaan memborong beras dengan membeli sebuah mesin pengapit beras bertujuan untuk mengapit sendiri produk beras di bawah nama syarikat beliau.

Rosnaini menegaskan kepada sesiapa yang ingin menceburkan diri dalam bidang perusahaan ini, terutama golongan Bumiputera, haruslah menanamkan sikap berani mengambil risiko, tabah mengharungi pelbagai dugaan, berdisiplin dalam menguruskan kewangan dan mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap diri sendiri.

Di samping itu, beliau juga menyeru agar golongan pengusaha Bumiputera sentiasa saling bantu-membantu di antara satu sama lain dan mengamalkan persaingan yang sihat dalam menjalankan perniagaan.

“Seandainya anda menghadapi kekurangan bekalan beras, datang sahaja ke Syarikat Seri Mawar yang terletak di Kampung Jawa, saya pasti akan memberikan layanan yang terbaik kepada anda”, pesan terakhir Rosnaini sambil tersenyum.

* Harga minyak, gas kekal * Tarif elektrik tidak naik *

KUALA LUMPUR : Kerajaan kelmarin mengumumkan akan memperkenalkan tiga langkah khusus bagi meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Selain tiga langkah itu, kerajaan turut menyatakan ia tidak akan menaikkan harga minyak dan gas pada masa ini.
Berikutan keputusan tersebut, kadar tarif elektrik sedia ada akan dikekalkan.
Dalam ucap utamanya pada Persidangan Pelaburan Malaysia 2008 di sini hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghuraikan perancangan bagi melegakan keresahan rakyat berhubung kenaikan kos sara hidup yang menjadi isu dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.
Tiga langkah itu ialah:
* Mengurangkan impak kenaikan harga minyak dunia bagi golongan berpendapatan rendah dengan mengurangkan pembaziran dan kerugian kesan daripada subsidi.
* Mengkaji semula pelaksanaan rancangan-rancangan ekonomi bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai golongan yang benar-benar memerlukan.
* Kerajaan akan terus bekerja ke arah mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan-kumpulan etnik, dan pada masa yang sama memastikan keadilan untuk semua rakyat.
(Sumber : Utusan Online)

Pelajar disaran tingkatkan mutu pembacaan Al-Quran, JHEAINS

Oleh : Noorulzaman Sodiq
TAWAU: Selain mendalami mata pelajaran Bahasa Arab yang menjadi bahasa kedua yang diajar di sekolah-sekolah Agama, pelajar disarankan agar sentiasa meningkatkan mutu pembacaan Al-Quran di setiap Sekolah Agama JHEAINS di daerah ini.
Penyelia Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Bahagian Tawau, Hajah Armah Haji Ahmad berkata, mereka juga haruslah melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
“Saya amat berharap agar aktiviti ko-kurikulum yang dianjurkan oleh JHEAINS dapat dijadikan wadah dalam menjana sistem pendidikan yang berasaskan Al-Quran dan Assunnah,” katanya ketika merasmikan Majlis Ko-Kurikulum Sekolah-sekolah di bawah JHEAINS Peringkat Daerah Tawau di SAR Ladang Tiger di sini.
Dalam hal berkaitan, beliau melahirkan harapannya agar para pelajar sekolah-sekolah terbabit dapat dilahirkan menjadi insan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak mulia serta berupaya menjadi Modal Insan Cemerlang untuk Agama, Bangsa dan Negara. Namun demikian, kerjasama semua pihak jelasnya amatlah diharapkan bagi memastikan generasi pelajar berkenaan berupaya untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Peserta dari Tawau Pemenang Kuiz SHAHADAH 3


Oleh: Hasnah Kassim

TAWAU - Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Kuiz Syahadah 3 telah diadakan di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 25 Mac 2008 yang disiarkan secara langsung melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Salah seorang pemenang kuiz tersebut ialah Encik Mashor Sharif Kutoh yang bertugas di SK. Tanjung Batu Tawau memenangi pakej pelancongan ke China.

Ketika ditemui sekembalinya ke Tawau, beliau melahirkan perasaan gembira dan memanjatkan syukur atas anugerah Allah s.w.t. kerana antara ratusan ribu penyertaan yang diterima di seluruh Malaysia beliau merupakan antara peserta yang bertuah.

“Siri dokumentari Syahadah perlu ditonton oleh masyarakat Islam memandangkan rancangan tersebut banyak memberi gambaran sebenar tentang bagaimana masyarakat Islam minoriti yang mendiami sesebuah wilayah atau negara mengimplimentasikan Islam sebagai satu cara hidup”, ujar beliau.

Para pemenang ditawarkan hadiah empat pakej menunaikan umrah bernilai RM20,000 dan empat pakej pelancongan ke Beijing, China bernilai RM10,000 tajaan UTAS Travel & Tours Sdn. Bhd.

RTM telah menyiarkan dokumentari Syahadah 3 sepanjang bulan Ramadan tahun lalu yang merupakan sambungan daripada program tersebut yang diperkenalkan sejak tahun 2005 pada setiap Ramadhan. Sebanyak 700,000 penonton direkodkan pada setiap episod.

Syahadah 1 sebelum ini menyusuri negara-negara seperti Arab Saudi, Turki, Yemen, Syria, Kemboja, Thailand, Brunei dan Hong Kong manakala Syahadah 2 bertumpu ke negara China.
Siri dokumentari Syahadah 3 yang disiarkan sebanyak 30 episod melibatkan penggembaraan di 15 wilayah India antaranya meliputi Kerala, Tamil Nadu, Karnata, Andhra Pradesh, West Benggal, Uttar Pradesh, Jammu Kashmir serta di Sri Lanka yang melibatkan bandar Colombo, Galle dan Hambantota. India dipilih sebagai destinasi dokumentari tersebut berikutan negara itu mempunyai banyak tinggalan sejarah kejayaan tamadun kebangkitan Islam yang boleh dijadikan panduan kepada masyarakat.

Sambutan Hari Polis ke-201




Oleh: Noorulzaman Sodiq

TAWAU : “Tegas Adil dan Berhemah” adalah motto baru Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Hari Polis ke-201.

Hari ini juga merupakan hari bersejarah bagi pasukan Polis kerana semua kontinjen akan menjayakan sambutan serentak di seluruh Malaysia.

“PDRM telah banyak mengharungi pelbagai kenangan pahit manis dalam usaha memastikan kesejahteraan dan keselamatan Negara sentiasa terpelihara”, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt. Hj. Ramli Ali Mat semasa membaca perutusan Ketua Polis Negara di Perhimpunan hari Polis di Perkarangan Balai Polis Tawau Kelmarin.

“Justeru itu semua peringkat pegawai dan anggota adalah diingatkan supaya sentiasa menanamkan semangat cintakan Negara”, sambung beliau lagi.

Katanya, dengan terlancarnya motto baru iaitu “Intregriti Amalan Kita” pada tahun ini tertumpu kepada tanggungjawab peribadi dari semua peringkat jawatan yang mana perlu diasah dan diterapkan di setiap diri bagi menjamin matlamat slogan iaitu “Tegas, Adil dan Berhemah” akan tercapai.

Tambahnya, masyarakat juga perlu bekerjasama dengan pihak polis supaya sama-sama dapat mengurangkan kes-kes jenayah sekaligus membasmi jenayah yang berlaku di daerah Tawau.

Beliau juga sempat memotong kek sempena menyambut Hari Polis ke-201 bersama para jemputan khas.

Kehadiran dianggarkan lebih kurang 2000 orang termasuk kontinjen.

Monday, March 24, 2008

MRSM TAWAU MULA BEROPERASI



Oleh: Amir Anuar

Tawau : Seramai 500 orang termasuk pelajar dan ibu bapa menghadiri Hari Pendaftaran Pelajar Baru di MRSM (Maktab Rendah Sains MARA) Tawau yang dibuka kelmarin.

MRSM Tawau yang baru ditubuhkan menerima pendaftaran 84 pelajar untuk kemasukan ke tingkatan satu dan 76 pelajar untuk kemasukan ke tingkatan empat.

Pengetua MRSM, Wan Abdul Ghani Wan Abdullah dalam taklimatnya bersama pelajar dan ibubapa, mengalu-alukan kehadiran pelajar-pelajar barunya dan juga ibu bapa yang sanggup meluangkan masa menghadiri sesi pendaftaran berkenaan.

“Semoga para pelajar akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan demi meneruskan kecemerlangan dalam pelbagai aspek merangkumi bidang akademik, ko kurikulum dan sahsiah diri”, kata beliau.

Beliau juga turut merakamkan penghargaan kepada ibubapa yang sanggup meletakkan kepercayaan kepada mereka sekalipun MRSM Tawau baru pertama kali melakukan pengambilan pelajar.

Sementara itu Penyelaras Jawatankuasa Hari Pendaftaran dan Minggu Penyesuaian Diri, Kamarudin Sagiman, berpuas hati dengan kelancaran proses pendaftaran yang telah diatur, dan berpuas hati dengan komitmen petugas yang terdiri daripada guru dan kakitangan MRSM sendiri.

Tambah Kamarudin, pihaknya telah menyediakan beberapa program yang perlu diikuti pelajar sepanjang minggu orientasi ataupun Minggu Penyesuaian Diri yang diharap mampu melengkapkan pelajar dalam suasana baru sebelum memulakan rutin harian sebagai pelajar di MRSM Tawau.

Antara program yang diatur ialah Penyesuaian Diri Bersama Kaunselor dan Penasihat Homeroom (Unit Keluarga Angkat), pendaftaran ko-kurikulum, pertandingan persembahan dan sukan (untuk menilai kreativiti dan kerjasama pelajar), “Explorace Maktabku”, dan pengisian rohani.

Para pelajar yang ditemui rata-ratanya gembira selepas mendapat tawaran ke MRSM Tawau, sekalipun berada jauh dari tempat kediaman, namun peluang yang hadir sukar untuk dilepaskan.

Pelajar tingkatan empat, Ariefwan Azman, meluahkan rasa gembiranya kerana berpendapat peluang berkenaan merupakan jalan untuknya memperolehi masa depan yang lebih cerah, dan berazam untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam pelajaran.

“Saya berasa gembira apabila mendapat tawaran ini kerana dah terlalu lama saya berharap untuk melanjutkan pelajaran di MRSM, namun sedikit terkilan kerana terpaksa berada jauh di samping keluarga”, kata pelajar tingkatan empat, Fatin Nadzirah.

Sementara itu, pelajar tingkatan satu, Dayang Khairunnisa Norafandi pula meluahkan rasa bangganya kerana berjaya mendapat tempat di MRSM yang terbukti kredibilitinya di dalam melhirkan pelajar cemerlang, sambil berazam untuk meningkatkan pelajaran demi kebanggaan kedua ibubapanya.

Dalam pada itu seorang ayah pelajar, Hakim Hj Muharram yang berasal dari Lahad Datu, meluahkan harapannya agar anaknya mampu mencapai segala yang diimpikan dan dapat menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi.

Datuk kepada salah seorang pelajar, Kapten Jukim Hj. Jamudin yang datang dari Kota Kinabalu pula mengakui berasa bersemangat ke Tawau semata-mata untuk menghantar cucunya menyambung pelajaran di tempat yang lebih baik, dan merakamkan penghargaan kepada MRSM.

Sunday, March 23, 2008

Menjana Ummah Gemilang di Dunia dan Akhirat


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU: Umat Islam harus membuktikan kasih sayang terhadap Rasulullah S.A.W dengan mengamalkan segala ajaran yang dibawanya.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, sambutan Maulidur Rasul bukan setakat diraikan, malah yang lebih utama ialah mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, semoga menjadi teladan dan idola kepada kita semua.

Justeru itu katanya, umat Islam seharusnya memperbanyakkan amalan dan mengelakkan segala persengketaan atau hasad dengki yang sering berlaku pada masa kini kerana ia akan menghancurkan umat Islam itu sendiri.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran Surah Pendek dan Azan Kanak-kanak Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kampung Titingan di sini kelmarin.

Katanya lagi, umat Islam harus berani melakukan perubahan besar terhadap diri dengan mencontohi segala perlakuan dan sifat terpuji junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Pada masa yang sama, beliau berkata usaha mengadakan pertandingan tilawah Al-Quran ini adalah satu usaha yang baik dalam membentuk peribadi golongan muda Islam.

Sehubungan itu, beliau meminta agar ibu bapa seharusnya memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan agama secukupnya sebagai satu bekalan menghadapi zaman yang begitu mencabar dan sekali gus dapat menjana ummah gemilang di dunia dan akhirat.

Seramai lebih 70 kanak-kanak menyertai pertandingan Tilawah Al-Quran Surah Pendek dan Azan Kanak-kanak yang diadakan selama sehari.

Peluang belajar bagi lepasan STPM & SPM


Oleh : Noorulzaman Sodiq

TAWAU : Pusat Pengajian Tinggi Tempatan atau Swasta banyak menyediakan peluang-peluang pendidikan kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran hingga ke menara gading.

Salah satu Kolej yang sedang menarik minat para lepasan STPM dan SPM adalah Kolej Yayasan Sabah (KYS).

Ketua Eksekutif Kolej Yayasan Sabah (KYS), Dr. Dayang Aminah Ali berkata, kepada pelajar lepasan STPM dan SPM dialu-alukan untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh KYS kerana kebanyakan kursus yang disediakan adalah kursus teknikal, professional dan akademik.

Katanya, pelajar-pelajar yang layak dan mempunyai pendapatan keluarga yang rendah akan diberikan keutamaan untuk memasuki KYS.

“KYS juga berkerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi melahirkan gunatenaga yang menyeluruh bagi menepati kehendak Negara”, katanya lagi.

KYS menawarkan 4 kursus peringkat Diploma iaitu Dip. Teknologi Automotif (DTA)-LAN, Dip.Teknologi Binaan Bangunan(DBB)-LAN, Dip. Pengurusan Teknologi (DDG) dan Dip. Pengurusan Teknologi Perakaunan (DDW).

Manakala 4 kursus peringkat Sijil iaitu Sistem Maklumat (tahap 2, 3 & 4), Mekanik Kenderaan Motor (tahap 1, 2 & 3), Jurubina Bangunan (tahap 1, 2 & 3) dan Pembuatan Perabot (tahap 1 & 2).

Kepada mereka yang layak, bantuan kewangan seperti Biasiswa dan Pinjaman Kewangan akan disediakan bagi memudahkan segala urusan pembelajaran.

Turut hadir di taklimat tersebut adalah Ahli Lembaga Peladang Tawau Arif Hj. Mahmud dan lebih kurang 20 orang pelajar.

Taklimat tersebut telah diadakan di bilik mesyuarat Jabatan Perladangan Tawau kelmarin.

Majlis memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W




Oleh: Muahlim Lise

Kehadiran Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah SWT.
Setibanya hari tersebut, maka umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati Hari Keputeraan Nabi Muhammad S.A.W dengan mengadakan acara seperti perarakan umat Islam, ceramah, bacaan Al-Quran dan sebagainya yang termaktub dalam Islam.
Baru-baru ini satu Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Mukarramah Kg. Tanjung Batu Laut yang disempurnakan oleh Wakil Rakyat Sebatik, Abdul Muis Picho yang mewakili Wakil Rakyat Tanjung Batu, Datuk Hjh. Hamisah Samat yang tidak dapat hadir.

Majlis itu diadakan bertujuan untuk mengenal erti ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah S.W.T melalui Rasulullah S.A.W, yang harus diterapkan seawal usia muda agar ianya menjadi satu pedoman dalam hidup sepertimana ibadah yang diwajibkan dalam Islam.

“Kita harus terapkan ilmu agama kepada anak-anak kita sejak mereka kecil lagi. Apabila mereka memiliki pengetahuan agama, sudah tentu kejayaan mereka sebagai seorang individu Islam akan lebih bermakna,” katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Muis juga menyarankan agar seluruh Umat Islam mengenang jasa Nabi Muhammad S.A.W dalam perjuangannya menegakkan dan mengajar pedoman dalam Islam.

Beliau menegaskan umat Islam haruslah bersatu-padu dalam memartabatkan Islam dan mencontohi sifat-sifat mulia Nabi Muhammad S.A.W.

Di samping itu juga, masyarakat Islam dinasihatkan supaya tidak mengabaikan kepentingan memberi pendidikan agama kepada anak-anak mereka, meskipun senario hari ini semakin menuntut agar setiap generasi muda memiliki pengetahuan di dalam bidang akademik.
Allah S.W.T akan memberkati sesiapa yang mengadakan majlis sempena Maulidur Rasul kerana keberkatannya bukan sahaja diperolehi oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu.

Muis juga memuji pihak Tadika al-Ikhwan dan Syarikat global Ikhwan dalam menjayakan dan melaksanakan program yang dikatakan menyemarakkan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah S.A.W dan ajaran Islam.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1000 orang, pelbagai program kebudayaan dilangsungkan seperti persembahan bacaan puisi, nasyid, pentomen dan persembahan dari kanak-kanak tadika.
Terdahulu sebelum ke majlis itu, Muis turut berkesempatan merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul di Masjid Al-Mukarramah Kg. Tanjung Batu Laut, sebagai mewakili Wakil Rakyat kawasan terbabit, Datuk Hajah Hamisah Haji Samad.